February 2, 2012

United Beri Tekanan Kepada City


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menjangkakan pertemuan menentang Manchester City April depan bakal menjadi detik penentu siapa lebih layak bergelar juara Liga Perdana England musim ini.
Kenyataan Ferguson itu hadir selepas anak-anak buahnya melakar kemenangan 2-0 ke atas Stoke City di Old Trafford awal pagi semalam.
Kemenangan itu ternyata bermakna buat skuad The Red Devils apabila mereka berjaya menyamakan pungutan 54 mata dengan City yang masih mengungguli carta liga.
Malah kejayaan United berkongsi 54 mata dengan City turut dibantu dengan kekalahan mengejut 0-1 yang dialami City di tangan Everton dalam satu lagi aksi awal pagi semalam.
Dengan tiga tonggak utama United, Wayne Rooney, Nani dan Ashley Young dijangka kembali diturunkan selepas pulih daripada masalah kecederaan menjelang pertemuan dengan Chelsea Ahad ini, Ferguson ternyata berpuas hati dengan prestasi semasa barisan pemainnya.
"Kemenangan ke atas Stoke cukup signifikan bagi kami. Namun, ia tetap hari terakhir pada Januari.
"Saya sentiasa melihat Mac sebagai bulan yang penting buat kami. Pada April pula kami akan berdepan dengan City.
"Kami harap Rooney, Nani dan Young boleh diturunkan pada perlawanan menentang Chelsea Ahad ini.
"Malam ini (awal pagi semalam) ternyata hari yang cukup indah buat kami. Namun, saya lebih berpuas hati dengan persembahan kami sendiri," kata Ferguson.
Pada aksi awal pagi semalam, kedua-dua gol kemenangan skuad The Red Devils diperoleh menerusi sepakan penalti.
Bintang muda United, Javier Hernandez menyempurnakan sepakan penalti pertama pada minit ke-38 sebelum penyerang antarabangsa Bulgaria, Dimitar Berbatoz meledak penalti kedua minit ke-53.
"Ia merupakan sepakan penalti yang sangat baik dan tidak mendatangkan masalah buat Hernandez untuk menyempurnakannya.
"Pada awalnya, Berbatov mahu mengambil sepakan penalti pertama, namun dia mengalah kepada Hernandez. Selepas itu dia ambil sepakan yang kedua dan berjaya menyempurnakannya," jelas Ferguson.
- AFP