February 2, 2012

Mancini Salahkan Diri Sendiri


LIVERPOOL - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini berkata, dia yang perlu dipersalahkan atas kekalahan 0-1 kepada Everton sekali gus memberi kesan kepada usaha pemburuan trofi Liga Perdana Enggeris musim ini.

Mancini mengakui segalanya tidak menjadi ketika Darron Gibson menjaringkan gol pertama semenjak Mac 2010 bagi memberikan laluan kepada Manchester United berada sama mata dengan City dalam kedudukan liga.

Gibson membuktikan kehadirannya di Everton perlu diberi perhatian dan memastikan City hanya menang sekali dalam 21 lawatan terakhir ke Goodison Park.

''Kami ternyata tidak begitu bersedia dan mempunyai masalah. Saya tidak boleh melakukan kesilapan yang sama pada masa akan datang.

''Saya cukup kecewa dengan kesilapan yang dilakukan dan tidak bersiap sedia dalam semua aspek ketika sesi latihan.

''Walaupun begitu, kami masih berada di tangga teratas dan masih ada 15 perlawanan, jadi cukup penting untuk menang dalam perlawanan akan datang, Sabtu ini (Fulham)

''Saya jangkakan perlawanan ini akan mudah tetapi tidak di sini. Kami tidak harus kalah dalam perlawanan ini tetapi atas kesalahan yang kami lakukan, kami dihukum," katanya.

Moyes pula berkata, kemenangan itu antara yang paling manis sepanjang 10 tahun dia menjadi pengurus Everton di samping turut gembira dengan kehadiran penyerang antarabangsa Croatia, Nikica Jelavic dari Rangers dengan yuran perpindahan 5.5 juta pound (RM26.5 juta).

Jelavic telah bersetuju menyertai Everton dengan kontrak empat tahun setengah sementara Louis Saha dipinjamkan ke Spurs sehingga penghujung musim.

''Ia melambangkan kepuasan yang kami perolehi di Everton dan mungkin salah satu yang terbaik.

''Kami juga mendapat Jelavic dan dia merupakan salah seorang penyerang yang kami cari selama ini. Ia satu berita baik dan berharap dia akan menjaringkan seberapa banyak gol kepada kami.

''Dia datang daripada sebuah kelab yang hebat dan datang ke sini. Dia memang mahu bermain di Liga Perdana dan Everton," kata Moyes. - AFP