February 2, 2012

Pujian Melambung Daglish Buat Anak Buah

WOLVERHAMPTON: Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish memuji tahap profesionalisme anak didiknya selepas mereka merakamkan kemenangan sulung pada aksi Liga Perdana Inggeris tahun ini menewaskan Wolves 3-0 di tempat lawan, awal pagi semalam. 

Tiga jaringan Andy Carroll, Craig Bellamy dan Dirk Kuyt membolehkan Liverpool kini memintas Arsenal untuk menghuni tangga kelima liga sambil hanya ketinggalan empat mata berbanding Chelsea di tangga keempat.

Ia sekali gus menjadikan minggu penuh gemilang buat Dalglish dan anak-anak buahnya selepas mereka menyingkirkan Manchester City pada separuh akhir Piala Liga dan Manchester United pada pusingan keempat Piala FA.
“Saya fikir ia cukup profesional. Satu persembahan berkualiti tinggi daripada pemain. Ia reaksi cukup hebat selepas dua perlawanan sebelum ini. Perlawanan ini cukup penting kerana ia bakal menjadi penentu aksi seterusnya. 

“Saya juga berasakan pemain harus diberi kredit apabila mereka cukup menghormati Wolves. Biarpun ketika sudah mendahului 3-0, mereka masih tidak memperkecilkan pasukan lawan. 

“Persembahan baik pada saingan Piala Liga dan Piala FA tampak memberi kami sedikit keyakinan tetapi kebangkitan sebenar selepas tewas kepada Bolton wajar dipuji,” jelas Dalglish. – AFP