February 10, 2012

Arsenal Perlu Konsisten - Wenger



LONDON - Arsene Wenger mengakui yang Arsenal perlu beraksi secara lebih konsisten untuk menamatkan saingan Liga Perdana England dalam kelompok empat teratas musim ini.


Bagaimanapun, pengurus skuad The Gunners itu berkata, keputusan yang diperoleh beberapa minggu lalu telah meningkatkan keyakinan pasukan itu.


Ketika ini, Arsenal hanya ketinggalan tiga mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat liga selepas skuad The Blues mempersia-siakan kelebihan tiga gol ketika seri 3-3 dengan Manchester United penghujung minggu lalu.


Selain itu, kemenangan 7-1 Arsenal ke atas Blackburn Rovers turut meletakkan pasukan itu di kedudukan yang baik.


Wenger yakin pasukan itu kembali berada di landasan terbaik menjelang aksi menentang Sunderland di gelanggang lawan malam esok.


"Kami memperoleh keputusan yang baik pada minggu lalu. Kami mencipta kejayaan ke atas Aston Villa dan menampilkan suatu persembahan yang baik berdepan Bolton," kata Wenger.


"Kami memperoleh peluang yang sama (di Stadium Reebok) dan di Blackburn tetapi kami menjaringkan lebih banyak gol pada Sabtu lalu.


"Kami masih berpeluang untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas. Kami memiliki semangat dan keinginan yang tinggi dan kami juga ada kualiti.


"Kami menyedari, kami perlu lebih konsisten untuk merealisasikan impian tersebut. Jadi, itu adalah cabaran yang perlu kami hadapi apabila bertemu Sunderland." - Agensi