February 10, 2012

Bilbao Jumpa Barcelona di Final



MADRID - Barcelona melangkah ke final Piala Raja Sepanyol selepas menewaskan Valencia 2-0 hasil jaringan Cesc Fabregas dan Xavi pada aksi separuh akhir kedua kelmarin.


Barcelona menempah slot ke separuh akhir selepas menyingkirkan musuh tradisinya, Real Madrid dengan agregat 4-3.


Pada pertemuan menentang Valencia, hantaran Lionel Messi berjaya disempurnakan oleh Fabregas pada minit ke-16 di Stadium Nou Camp selepas bekas kapten Arsenal itu menendang tinggi bola untuk melepasi penjaga gol Valencia, Diego Alves.


Alves yang menyelamatkan sepakan penalti Messi ketika aksi pertama minggu lepas, sekali lagi menjadi penyelamat apabila berjaya menafikan dua percubaan menarik penyerang Argentina, Messi.


Harapan Valencia untuk kembali bangkit musnah apabila pemain tengah, Sofiane Feghouli diarah keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke- 76.


Gol kedua perlawanan menerusi sepakan kencang Xavi yang menerima hantaran daripada Fabregas untuk mendahului Valencia dengan agregat 3-1.


Fabregas berkata, Barcelona terpaksa berhadapan dengan kelab-kelab yang hebat pada musim ini.


"Ia merupakan suatu saingan yang sangat panjang. Kita juga perlu menentang pasukan-pasukan yang kuat.


"Tetapi saya sangat berharap agar pasukan akan layak ke setiap final kejohanan yang kami sertai sebanyak yang boleh.


"Ia akan menjadi aksi final yang hebat kerana Bilboa memiliki beberapa pemain yang hebat dan kami juga perlu beraksi dengan sebaik yang mungkin," jelasnya.


Tambahnya lagi, tarikh dan tempat perlawanan akhir masih belum tetapkan lagi oleh Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF).


Sebelum ini, Bilboa selaku juara 23 kali menamatkan impian kelab divisyen ketiga, Mirandes setelah mencatat kemenangan 6-2 di Stadium San Mames, sekali gus mara dengan agregat 8-3. - Reuters