February 10, 2012

Laluan Seladang Masih Jauh



PENGURUSAN Perak meminta pemain kekal berpijak di bumi nyata di sebalik kejayaan merampas takhta daripada Kelantan selaku pendahulu baru Liga Super. 


Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata ranjau bagi skuad Seladang masih berliku tetapi menghambur pujian ke atas anak didik Norizan Bakar yang mengatasi Sarawak 2-1 di Ipoh, kelmarin.


“Saya berharap pemain meneruskan rentak cemerlang ini dan tidak mudah berpuas hati. Perjalanan masih jauh dan berliku. Ini baru perlawanan keenam,” katanya, semalam.


Sementara itu, berpegang kepada pepatah lama ‘tiada rotan akar pun berguna’ Pafa mengekalkan khidmat Lazar Popovic sekurang-kurangnya sehingga tingkap perpindahan April nanti biarpun penyerang Serbia itu masih gagal menjaringkan sebarang gol selepas perlawanan keenam, kelmarin. 


Zainol berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat pengurusan pasukan yang diadakan Selasa lalu. 


“Selepas meneliti laporan dari jurulatih pasukan jawatankuasa berpuas hati dengan sumbangan Popovic biarpun masih kebuntuan jaringan. Hakikatnya ialah sukar mencari pengganti berwibawa dalam tempoh singkat ini justeru dalam ketiadaan rotan ini kita gunalah akar,” katanya.