January 23, 2012

Yunus Alif Salahkan Kad Merah


KEKECEWAAN jelas terpancar di wajah pengendali T-Team, Yunus Alif selepas rekod bersih pasukan itu dalam Liga Super lebur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.
Lebih memeritkan lagi, kekalahan 1-2 itu dicatat ketika berdepan seteru utama, Terengganu dengan disaksikan sendiri lebih 10,000 penyokong tempatan.
Namun, Yunus mengakui kekalahan itu banyak berpunca daripada layangan kad merah yang diberikan kepada Shahril Faizal seawal minit ke-19 sehingga memberi kelebihan kepada Terengganu menguasai perlawanan.
"Kami terpaksa bermain dengan 10 orang selama 75 minit dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi.
"Saya juga terpaksa membuat perubahan drastik dengan memperkuatkan barisan pertahanan.
"Jadi, memang sukar untuk kami mencatat kemenangan ketika Terengganu melakukan serangan bertali arus," kata Yunus kepada Kosmo! semalam.
Pada perlawanan kelmarin, T-Team terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-12 menerusi jaringan penalti Zairo Anuar Zailani.
Bagaimanapun, Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan minit ke-21, juga menerusi sepakan penalti sebelum pemain import dari Liberia itu meledak gol kemenangan pada minit ke-61.
"Secara peribadi, saya tidak berpuas hati dengan kekalahan ini kerana kami mampu untuk mencatat keputusan lebih baik.
"Layangan kad merah itu telah memberi kesan kepada kami. Tapi saya enggan untuk mengulas berkaitan isu itu kerana ia adalah keputusan muktamad pengadil.
"Apapun, pujian tetap diberikan kepada semua pemain T-Team atas semangat kental yang diberikan sepanjang 90 minit permainan," jelasnya lagi.
Kekalahan yang dicatat kelmarin merupakan kekalahan pertama buat T-Team selepas cemerlang dalam tiga perlawanan awal.
Pasukan berstatus kelab itu merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Kedah dan Kuala Lumpur sebelum seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Sabah.
"Pretasi Zacharia Simukonda semakin baik dan kita dapat lihat kemampuan pemain itu.
"Begitu juga dengan Zairo dan Mohd. Faiz Subri serta pemain-pemain lain yang telah menunjukkan aksi terbaik mereka."