January 23, 2012

Piala Negara-Negara Afrika: Senegal Diaib Zambia



BATA, Equatorial Guinea - Zambia terselamat daripada asakan hebat pada babak kedua untuk memperoleh kemenangan mengejut 2-1 ke atas Senegal pada perlawanan Kumpulan A kejohanan Piala Negara-Negara Afrika semalam.

Emmanuel Mayuka dan Rainford Kalaba menjaringkan gol buat Zambia untuk mendahului sejak 20 minit awal perlawanan.

Namun Senegal mula mempamer penguasaan pada babak kedua terutama selepas jaringan Dame N'Doye pada minit ke-74, yang menjadikan perlawanan lebih dramatik sebelum akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan kepada Zambia.

Senegal merupakan antara pasukan pilihan pada kejohanan kali ini dan bakal berhadapan Equatorial Guinea yang menang 1-0 ke atas Libya di Estadio De Bata.

Kemenangan itu juga merupakan kejayaan hebat buat jurulatih Zambia, Herve Renard yang berjanji untuk memenangi perlawanan pertama semalam, sebagai menghormati tragedi pada 1993, apabila pesawat yang dinaiki skuad kebangsaan Zambia terjunam ke dalam laut berhampiran Bata dan membunuh 30 penumpang.

"Ia adalah sesuatu yang mengagumkan kerana menewaskan Senegal. Ini bukan kejutan, ini adalah hasil daripada kerja keras.

"Kami masih ada dua lagi perlawanan dan kami perlu kekalkan prestasi. Jangan fikir apabila anda menewaskan Senegal, anda berupaya menewaskan sesiapa sahaja," kata Renard. - AFP