January 28, 2012

Fair Play Dengan Man United

LIVERPOOL: Kapten Liverpool, Steven Gerrard meminta peminat kelab itu berkelakuan elok ketika kunjungan Manchester United ke Anfield bagi pertembungan Piala FA, hari ini. 

Pusingan keempat itu bakal diadakan kali pertama sejak penyerang Liverpool, Luis Suarez digantung lapan perlawanan kerana kesalahan berbaur perkauman terhadap pertahanan United, Patrice Evra.



Biarpun Suarez masih dalam tempoh penggantungan, Evra dijangka akan bermain bagi United dan Gerrard mahukan peminat memberi tumpuan menyokong skuad Kenny Dalglish.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab,” kata Gerrard. “Dengan ‘Fair Play’ berterusan dan kempen itu yang sudah lama berjalan, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan permainan ini diingati dalam bola sepak. 

“Liverpool dan Manchester United adalah musuh utama dan sudah tentu akan ada berita dalam akhbar dan sorak-menyorak antara penyokong. 

“Kita tidak mahu sebarang berita utama di dada akhbar bagi perlawanan ini atau apa saja berita selain daripada permainan bola sepak antara kedua-dua pasukan handalan ini dan semoga pasukan terbaik akan menang.” 

Dengan keyakinan tinggi selepas mengatasi Manchester City 3-2 menerusi agregat untuk menempah tempat ke final Piala Liga di Wembley bulan depan, Liverpool berazam meneruskan persembahan baik menentang skuad Sir Alex Ferguson. – AFP