January 27, 2012

Apek Tidak Ponteng

MASALAH komunikasi dikaitkan sebagai punca penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat gagal hadir untuk latihan pusat hari pertama bersama skuad Harimau Muda, kelmarin.


Tanpa mahu memanjangkan isu itu, pemain berkenaan yang dikenali Apek tidak mahu memberi sebarang komen melainkan menyerahkan jalan penyelesaian kepada pihak pengurusan skuad Kelantan.

“Memang saya tahu dan perlu lapor diri bersama skuad Olimpik tapi saya tidak mahu komen mengenai hal ini bagi mengelakkan timbul masalah baru. Saya serahkan hal ini kepada pihak pengurusan memberi penjelasan dan membuat sebarang keputusan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi semalam menjelaskan betapa wujud sedikit masalah komunikasi yang berlaku menyebabkan masalah ini timbul.

“Berlaku sedikit salah faham kerana KAFA memang sudah memberi kebenaran kepada Apek untuk menyertai latihan bersama skuad negara. Dia (Apek) sudah ke Kuala Lumpur hari ini (semalam) untuk menyertai latihan negara dan memberi penjelasan sebenar yang berlaku,” katanya.

Apek yang juga penjaga gol nombor satu Kelantan musim ini dikatakan ‘ponteng’ pada sesi latihan pertama skuad Olimpik di Wisma FAM, petang kelmarin. 


Malah jurulatih skuad negara, Ong Kim Swee sendiri menjelaskan dia masih belum menerima sebarang penjelasan daripada Apek dan KAFA berhubung kegagalan penjaga gol itu untuk melaporkan diri pada latihan pertama skuad Olimpik.