January 27, 2012

4 Kali Kalah Bukan Penentu


BADI tewas sebanyak empat kali ke atas pasukan berstatus kelab, T-Team dalam saingan Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia pada musim lepas pastinya masih menghantui Gergasi Merah, Selangor.
Justeru, pengendali Merah Kuning, Irfan Bakti Abu Salim sudah tentu memiliki ramuan yang cukup istimewa untuk memburu tiga mata berharga ketika berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.
Biarpun rekod pertembungan kedua- dua pasukan tidak memihak kepada pasukan beliau setakat ini, Irfan pastinya tidak akan duduk diam begitu sahaja selain mengharap ‘tuah’ gelanggang yang pernah menghadirkan 1,001 kenangan terindah pengendali kelahiran Perak itu ketika mengemudi Terengganu sebelum ini.
“Yang lepas itu, lepas. Paling utama, perlawanan kelima ini (bertemu T-Team), misi kami adalah untuk menang.
“Perjalanan liga dengan empat perlawanan sudah berlalu dianggap masih terlalu awal dan saya kekal optimis dengan keupayaan pasukan saya,” tegas Irfan sebelum ini.
Selepas seminggu tirai Liga Super berehat seketika, kredibiliti Safiq Rahim, Amri Yahyah dan Amirulhadi Zainal yang masih gagal menemui sentuhan sebenar setakat ini pastinya ditagih Irfan untuk menjelmakan sesuatu yang indah di Kuala Terengganu setelah kehilangan ‘awang import’, Lelo Mbele yang digugurkan gara-gara ‘indah khabar daripada rupa’.
Apa yang pasti, bekas penyerang Selangor yang kini berhijrah ke T-Team, Fazli Saari mampu menjadi ‘duri dalam daging’ pasukan pelawat jika tidak dirantai habis-habisan.
Bekas penyerang import Perlis, Zacharia Simukonda yang masih gagal mempamerkan sentuhan yang diharapkan ketika menyarung jersi T-Team musim ini juga mampu menyebabkan Merah Kuning berputih mata seandainya dibiarkan bermaharajalela di dalam kotak penalti lawan.
Gergasi Merah setakat ini sekadar mengutip lima mata hasil kemenangan ke atas Perak, seri dua kali bersama Negeri Sembilan dan Sarawak selain tewas 0-1 kepada Felda United dalam empat perlawanan sebelum ini.
Mereka ketinggalan dua mata di belakang anak-anak buah Yunus Alif yang kini mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu tewas.