January 23, 2012

Angkuh Punca Kalah



BOLTON - Kenny Dalglish tidak dapat menyembunyikan perasaan marah selepas pasukan itu tewas 1-3 kepada Bolton Wanderers pada aksi Liga Perdana England kelmarin.
Pengurus Liverpool itu berkata, para pemain lebih memberi tumpuan pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga menentang Manchester City Rabu ini.
Selain itu, mereka turut memberi keutamaan untuk pertemuan dengan Manchester United pada aksi pusingan keempat Piala FA tiga hari kemudian.
Pada aksi separuh akhir kedua menentang City, skuad The Reds kini hanya selangkah sahaja lagi untuk mara ke pentas final selepas menang 1-0 pada aksi pertama 10 Januari lalu.
Sekiranya berjaya mara ke final, anak-anak buah Dalglish berada pada landasan terbaik bagi menamatkan kemarau kejuaraan selama lima tahun selepas kali terakhir menjulang trofi pada saingan Piala FA 2006.
Meskipun aksi menentang City dan United dianggap penting buat Liverpool, Dalglish tidak dapat menerima kekalahan kepada Bolton yang memiliki rekod buruk bermain di tempat sendiri.
"Saya sungguh kecewa dengan kekalahan ini. Saya tidak rasa kami (Liverpool) sudah bersedia untuk berdepan City dan United.
"Jika pemain-pemain mahu belajar sesuatu di atas apa yang mereka telah lakukan, perlawanan hari ini (kelmarin) mampu menjadi pengajaran yang berguna buat mereka. Jika mereka sudah mempelajarinya, ia adalah suatu yang bagus.
"Jika mereka merasakan bahawa perlawanan hari ini tidak penting berbanding perlawanan seterusnya, mereka tidak sepatutnya berada di sini," kata Dalglish.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Reebok itu, Bolton terlebih dahulu berjaya menjaringkan dua gol menerusi Mark Davies seawal minit ketiga sebelum Nigel Reo-Coker meledak gol kedua pada minit ke-29.
Tersentak dengan dua gol tersebut, Liverpool cuba bangkit dan hasilnya Craig Bellamy berjaya merapatkan jurang apabila meledak gol pada minit ke-36.
Namun, Bolton terus menambah derita skuad The Reds apabila menjaringkan gol ketiga menerusi Gretar Rafn Steinsson pada minit ke-50 dan sekaligus keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Ketika ini, Liverpool berada di tangga ketujuh carta liga dengan mengumpul 35 mata. - AFP