January 23, 2012

Totti Cipta Rekod


ROM - Francesco Totti melakar rekod baharu dalam saingan Serie A selepas membantu AS Roma membelasah Cesena 5-1 kelmarin.
Sehingga kini, penyerang berusia 35 tahun itu telah meledakkan 211 gol dalam saingan liga bersama kelab yang sama, sekali gus melepasi rekod pemain Sweden, Gunnar Nordahl (210 gol) ketika menyarung jersi AC Milan lebih daripada 50 tahun lalu.
Begitupun, kemenangan itu tidak menggugat kedudukan Juventus selaku pendahulu liga selepas skuad kendalian Antonio Conte itu menewaskan Atalanta 2-0.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Juventus berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan itu dalam saingan musim ini.
Bagaimanapun, Conte menjelaskan perjalanan skuad kendaliannya itu masih panjang dan kejayaan selaku pendahulu liga ketika ini tidak boleh dijadikan sebagai ukuran untuk Juventus bergelar juara musim ini.
"Gelaran juara liga tidak membawa apa-apa makna buat saya ketika ini. Namun, barisan pemain saya berjaya melepasi halangan pertama musim ini dengan jayanya.
"Ia adalah saingan pusingan pertama yang menakjubkan bagi kami (Juventus).
"Kami berada di tangga teratas liga dan tidak pernah tewas lagi musim ini. Sebab itu, kami dilihat sebagai pasukan pilihan untuk bergelar juara," kata Conte.
Anak-anak buahnya terus berada di takhta liga dengan mengumpul 41 mata, empat mata di belakang pencabar terdekat, AC Milan.
Sementara itu Roma melonjak ke tangga keenam liga selepas mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Cesena.
Kelibat penyerang veteran Roma, Totti ternyata menjadi tumpuan apabila meledak dua gol seawal minit pertama dan tujuh minit kemudian
Selain Totti, turut berada dalam senarai jaringan Roma ialah Fabio Borini minit kelapan, Juan (62) dan Miralem Pjanic (70).
Gol sagu hati Cesena diperoleh menerusi Citadin Eder pada minit ke-58.
"Saya akan terus bermain sehingga tubuh badan saya sudah tidak mampu untuk melakukan apa yang saya mahukan.
"Jika kami (Roma) kami terus mengekalkan rentak kecemerlangan ini, saya yakin kami mampu melangkah lebih jauh. Kami menikmati setiap persembahan kami dan terima kasih kepada penyokong kami yang sentiasa memberikan sokongan," jelas Totti. - Reuters