January 23, 2012

Torres Perlukan Tuah - AVB



NORWICH - Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas enggan menyalahkan Fernando Torres ekoran kejutan terbaru kelab itu apabila seri tanpa jaringan dengan Norwich City kelmarin.

Penyerang Sepanyol yang dibeli pada harga 50 juta pound dari Liverpool setahun lalu, gagal menambah jaringan dengan hanya dua gol dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini.

Chelsea terikat tanpa jaringan dengan Norwich City kelmarin walaupun Blues mempunyai banyak peluang meledak gol.

Torres mendapat peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada babak kedua, namun percubaannya jauh tersasar.

Keputusan kelmarin bermakna Chelsea gagal untuk memberi tekanan kepada tiga kelab di atas, Manchester City, Man. 
United dan Tottenham.

Ia juga menyebabkan mereka sukar untuk mencabar bagi tempat keempat liga, iaitu kelayakan ke Liga Juara-Juara yang turut menjadi rebutan Arsenal, Newcastle dan Liverpool.

Rakaman televisyen menunjukkan Villas-Boas yang berang, marah dengan kegagalan Torres menjaringkan gol.

Selepas itu, bekas pengurus Porto itu tenang semula dan menegaskan dia berpuas hati dengan prestasi Torres.

"Dia bekerja keras, kami sangat gembira dengan cara permainannya.

"Kami tidak boleh berpura-pura dan tidak mengambil kira tentang apa yang dia lakukan pada perlawanan terakhir, iaitu menentang Sunderland di mana semua orang memuji Torres.

"Kami gagal menjaringkan gol, namun bukan itu sahaja yang kami mahukan.

"Dia (Torres) mempunyai beberapa peluang gol. Dengan sedikit tuah dia akan kembali menjaringkan gol.

"Kami mencipta begitu banyak peluang gol untuk menang perlawanan ini, bukan sahaja oleh barisan depan tetapi juga dari bahagian tengah.

"Saya rasa kami adalah antara tiga pasukan paling banyak mencipta peluang gol, cuma kami perlu mencari keberkesanan. Ia berlaku setiap musim," kata Villas-Boas.

Lebih memburukkan keadaan ialah pemain tengah England, Frank Lampard mengalami kecederaan pangkal paha sehingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-35.

"Ia kelihatan seperti koyakan otot, kami perlu melakukan ujian imbasan untuk mengesan kecederaan sebenar, namun doktor memaklumkan ia tidak terlalu teruk," tambah Villas-Boas. - AFP