April 2, 2011

Mew Choo Bersara, Ditawar Jadi Jurulatih

(Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai perancangan untuk melantik Wong Mew Choo sebagai jurulatih selepas pemain wanita negara itu mengumumkan persaraannya Jumaat.
Presidennya Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh berkata BAM telah menerima permohonan Wong untuk bersara atas sebab kecederaan.
"BAM ingin merekodkan penghargaan kepada Wong atas sumbangannya selama ini kepada negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis BAM di sini.
Wong, 28, telah mewakili negara dalam pelbagai kejohanan antarabangsa sejak tahun 2003.
Antara pencapaian terbaik beliau adalah pada tahun 2007 apabila menjadi pemain wanita pertama negara melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia.
Wong turut membantu membawa pulang emas dalam acara berpasukan pada Sukan Komanwel di New Delhi tahun lepas.
Pemain ranking ke-14 dunia itu pernah menduduki ranking ketujuh dunia, iaitu pencapaian terbaiknya pada Oktober 2008.
Selain itu, pada mesyuarat itu, Nadzmi berkata BAM akan menyambung kontrak dua jurulatih iaitu Rexy Mainaky dan Hendrawan Sugianto untuk dua tahun lagi. "BAM juga mengambil keputusan untuk membida penganjuran Kejohanan Piala Sudirman pada 2013," katanya.