January 18, 2011

Penganjur LTdL Masih Tunggu Jawapan Pasukan Profesional

Le_Tour_de_Lngkawi_2011(Bernama) -- Penganjur Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011) masih memberi peluang sehingga esok untuk sebuah pasukan dari bekas negara anggota Kesatuan Soviet mengesahkan penyertaan mereka pada perlumbaan LTdL yang bermula Ahad ini.

"Sekira masih belum ada jawapan daripada pasukan itu, maka kami akan mempelawa salah satu daripada 10 pasukan yang berada dalam senarai menunggu," katanya Ketua Pegawai Operasi LTdL 2011, Mohamed Salleh, di sini ini.

Bagaimanapun, beliau enggan menamakan pasukan yang dinanti-nantikan itu untuk membuat pengesahan.

Adalah difahamkan pasukan profesional benua itu sedang menunggu kelulusan status kelab profesional daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Mohamed berkata perlumbaan kali ini akan tetap melibatkan 23 pasukan termasuk enam pasukan profesional benua iaitu Landbouwkrediet (Belgium), Androni Giocattoli-Serramenti PVC Diquigiovanni (Itali), Colnago CSF Inox (Itali), Europcar (Perancis), CCC Polsat Polkowice (Poland) dan Farnese Vini-Neri dari Itali.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menerima tajaan daripada Telekom Malaysia Bhd (TM) di Menara Telekom di sini, hari Isnin.

Sementara itu 11 pasukan benua termasuk dua dari Malaysia -- Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) dan Le Tua Cycling Team (L2A) -- dan dua pasukan kebangsaan, Malaysia dan Korea Selatan akan turun memberi saingan pada perlumbaan kali ini.

Terdahulu pada majlis itu, Mohamed menerima tajaan TM daripada Ketua Pegawai Pemasarannya, Rozalila Abdul Rahman.

TM akan menyediakan kemudahan telekomunikasi yang merangkumi telefon talian tetap, mesin faksimili, talian internet dan komputer riba untuk kegunaan sekretariat dan pusat media LTdL 2011.

Selain itu, TM juga sekali lagi menjadi penaja kepada "Jersi Kuning" yang akan disarungkan kepada juara keseluruhan perlumbaan LTdL.

LTdL 2011 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah hampir RM1 juta dijadualkan bermula Ahad ini hingga 1 Feb meliputi 10 peringkat membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,315.4 kilometer.

Perlumbaan edisi ke-16 itu akan bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.