December 18, 2010

Persiapan Separuh Akhir Kedua AFF Suzuki Cup

MALAM ini, Malaysia memburu tempat di perlawanan akhir saingan Piala Suzuki AFF 2010 dan satu-satunya perkara yang boleh menafikan impian itu ialah andai skuad bimbingan ketua jurulatih K Rajagobal itu tewas kepada tuan rumah,
Vietnam dengan jumlah jaringan sekurang-kurangnya 3-0.

UNTUK melakar kemenangan di Stadium Nasional MyDinh malam ini mungkin sesuatu yang agak sukar tetapi paling penting, skuad bimbingan ketua jurulatih K Rajagobal itu perlu mempertahankan kelebihan dua gol yang diraih hasil kejayaan 2-0 di Bukit Jalil, Rabu lalu.

Jumlah jaringan sebesar itu mungkin dilihat terlalu besar dilepaskan pemain kebangsaan tetapi di Stadium Nasional MyDinh, Hanoi, tidak mustahil dilakukan Vietnam yang pastinya mendapat sokongan padu penonton tempatan.

Bekalan dua gol hasil kemenangan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil boleh dianggap cukup tetapi Vietnam yang juga juara bertahan kejohanan, bukanlah pasukan yang boleh dipandang mudah tambahan pula mereka akan kembali mendapat khidmat pemain tengah, Nguyen Trong Hoang yang sebelum ini menjalani hukuman penggantungan.

Dua pemain yang tidak diturunkan ketika separuh akhir pertama di Bukit Jalil lalu akibat kecederaan, Doan Viet Cuong dan Phan Van Tai Em juga sudah boleh bermain dan ketua pengendali, Henrique Calisto boleh mengharapkan sesuatu yang positif daripada kehadiran ketiga-tiga pemain tonggaknya itu.

Rajagobal pula menggesa anak buahnya menggunakan kelebihan bagi merealisasikan impian ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak edisi pertama Piala Suzuki AFF iaitu pada 1996. Pada perlawanan itu, Malaysia tewas 1-0 kepada Thailand hasil jaringan Kiatisuk Senamuang.

Benteng pertahanan negara diketuai Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas di bahagian tengah dilihat kental bertahan pada perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu walaupun diasak bertubi-tubi sambil dibantu Mohd Asraruddin Putra Omar dan Mahalli Jasuli.