July 15, 2010

Argentina sedia tawar kontrak 4 tahun kepada Maradona

BUENOS AIRES: Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) bersedia menawarkan kontrak baru empat tahun kepada Maradona yang menyaksikan bekas lagenda bola sepak itu terus melatih skuad kebangsaan negara itu untuk saingan Piala Dunia Brazil pada 2014.

Jurucakap persatuan, Ernesto Cherquis Bialo, memberitahu pemberita hari ini bahawa Presiden AFA, Julio Grondona akan bertemu Maradona minggu depan bagi membincangkan tawaran baru itu. Ini adalah perkembangan terbaru yang menguatkan lagi spekulasi bahawa maradona akan meneruskan khidmatnya sebagai jurulatih bagi skuad Argentina.



Berita berkenaan muncul selepas dua minggu Argentina terkeluar daripada saingan Piala Dunia selepas tumpas 4-0 kepada Jerman pada suku akhir.

Sejak kekalahan itu, Maradona tidak banyak memberi ulasan dan dilaporkan menyendiri di rumahnya di pinggir Bandaraya Buenos Aires.

Cherquis Bialo berkata, setakat ini AFA tidak mempunyai calon kedua sekiranya Maradona menolak tawaran terbaru itu.
Beliau juga mencadangkan prestasi Argentina pada Piala Dunia Afrika Selatan perlu diterima dan dihormati berikutan sebelum itu harapan terlalu tipis diletakkan untuk skuad berkenaan.

Argentina mendakap Piala Dunia pada 1978 dan 1986, tetapi tidak pernah menang kejohanan yang besar sejak menjadi juara Piala Copa America pada 1993. - AP

Sumber: Berita Harian