February 14, 2012

Kekalahan Pertama Malaysia di Kempen Kelayakan Piala Uber 2012


MACAU - Kekalahan 1-4 skuad wanita negara di tangan China pada aksi pembukaan Kumpulan W pada kempen kelayakan Kejohanan Badminton Piala Uber 2012 semalam sememangnya sudah dijangka.


Meskipun skuad 'Negara Tembok Besar' itu sekadar membariskan pasukan kedua pada kempen kelayakan kali ini, namun jika dibandingkan dengan skuad wanita negara, ternyata jurangnya masih terlalu besar.


Malah, sebelum pertemuan tersebut barisan jurulatih skuad negara sudah awal-awal lagi mengakui bahawa peluang untuk menang ke atas China terlalu sukar.


Sebaliknya, fokus utama skuad negara dalam aksi peringkat kumpulan adalah untuk menewaskan India dalam misi memburu slot ke peringkat suku akhir selaku naib juara kumpulan.


Bagaimanapun, di sebalik kekalahan ke atas China semalam, ada berita gembira menjelma buat kem negara apabila beregu kedua, Goh Liu Ying-Lim Yin Loo mencipta kejutan selepas menewaskan Zhong Qianxin-Yixin Bao 21-16, 21-15.


Individu paling gembira sudah pasti ketua jurulatih perseorangan negara, Rexy Mainaky apabila percaturannya menurunkan Liu Ying-Yin Loo membuahkan hasil.


Bagi Rexy, meskipun tewas kepada China, namun skuad negara boleh menganggap kemenangan Liu Ying-Yin Loo seperti suatu kejayaan buat Malaysia.


"Liu Ying-Yin Loo wajar diberikan kredit atas kemenangan hari ini (semalam). Saya sememangnya mengharapkan mereka mampu untuk menyumbangkan satu mata dan mereka tampil membuktikannya," kata Rexy ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan semalam.


Pada aksi semalam, perseorangan wanita pertama negara, Tee Jing Yi memang bukan tandingan pemain ranking No. 6 dunia, Jiang Yanjiao apabila tewas mudah 11-21, 7-21 dalam tempoh hanya 28 minit.


China terus mempamerkan penguasaan menerusi acara beregu wanita apabila gandingan Tian Qing-Zhao Yunlei mencatatkan kemenangan ke atas pasangan negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui 21-10, 21-9.


Perseorangan kedua negara, Lydia Cheah turut gagal menyumbangkan mata buat skuad negara apabila tewas di tangan Liu Xin 12-21, 19-21.


Liu Ying-Yin Loo pula menewaskan Zhong Qianxin-Yixin Bao 21-16, 21-15, manakala perseorangan ketiga, Sannatasah Saniru pula tewas di tangan Wang Lin 11-21, 13-21.


Kini, skuad wanita negara tidak mempunyai pilihan selain menewaskan India pada aksi terakhir Kumpulan W hari ini bagi membuka laluan untuk layak ke peringkat suku akhir.


Sekiranya menang, slot suku akhir sudah hampir pasti menjadi milik skuad negara selaku naib juara Kumpulan W apabila China dijangka tidak berdepan halangan untuk menewaskan India dalam satu lagi pertemuan esok.


"Saya harap, Jing Yee selaku perseorangan pertama akan mempamerkan semangat juang tinggi biarpun sedar lawannya, Saina Nehwal (perseorangan pertama India) bukan mudah untuk dijinakkan.


Ditanya mengenai sandaran utama bagi mengutip mata buat skuad negara pada aksi menentang India hari ini, Rexy berkata: "Satu perlu hadir menerusi acara perseorangan dan saya mengharapkan dua pasangan beregu akan memberikan dua mata."