March 1, 2013

Kelantan Optimis Hadapi Perak



MISI memburu tiga mata diteruskan oleh juara tiga piala, Kelantan apabila melayan kunjungan Perak dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Setelah berjaya mencuri satu mata pada pertemuan menentang Pahang, minggu lalu, The Red Warriors (TRW) tampil dengan semangat baharu dan kali ini tampak begitu bersedia untuk menjadikan Perak sebagai mangsa kebangkitannya apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Hodak berkata, berdepan dengan Perak merupakan satu lagi ujian terpenting buat beliau dan barisan pemainnya tidak mempunyai pilihan selain perlu menewaskan skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah itu jika mahu memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

“Perak merupakan pasukan yang kuat pada musim ini. Memang kita pernah menewaskan mereka 6-0 di Kota Bharu pada musim lalu, namun malam ini adalah cerita baharu bagi kedua-dua pasukan.

“Lima gol yang dilepaskan oleh benteng akhir mereka daripada tujuh perlawanan setakat ini membuktikan pasukan ini cukup liat untuk ditumbangkan. Tetapi saya harap akan ada jaringan yang terhasil di Kota Bharu malam ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Malah pengendali dari Croatia itu turut menamakan tonggak pertahanan import Perak, Rafael Souza Silva Novais, pemain yang mempunyai susuk badan yang tegap mampu menyekat asakan menggila barisan penggempurnya dalam perlawanan itu.

Mengulas mengenai persiapannya, Hodak akui penangguhan perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang PKNS FC pada Selasa lalu tidak memberi sebarang kelebihan buat pasukannya.

“Perak pun berehat panjang kerana tidak beraksi pada perlawanan kelapan (bertemu Lions XII) dan tidak terbabit dengan kempen Piala FA setelah tersingkir awal. Jadi, kedua-dua pasukan mempunyai tempoh yang panjang (melakukan persiapan), cuma yang saya bimbang ialah  keadaan cuaca di sini,” katanya

Sementara itu, Hodak mengesahkan Kelantan kehilangan dua tonggak utama apabila berdepan Perak dan beliau berharap pengalaman yang dimiliki tiga bekas pemain skuad Seladang iaitu Indra Putra Mahayuddin, Keita Mandjou dan K Nanthakumar dapat mengimbangi kekuatan pasukannya.

“Nik Mohd Shahrul Azim (Ab Halim) tidak akan disenaraikan kerana belum pulih daripada kecederaan buku lali manakala peluang Mohd Shakir (Shaari) masih 50-50 untuk diturunkan. Saya akan nilai keadaan beliau pada latihan petang ini (semalam),” katanya.