November 6, 2012

Tidak Melibatkan Mat Yo



KOTA BHARU - Nasib penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Tahala atau Mat Yo untuk berhijrah ke Johor masih mencetuskan tanda tanya.

Ini berikutan mesyuarat pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kelmarin, tidak membincangkan isu pemain itu.

Sebaliknya, mesyuarat terarah kepada sambutan bagi meraikan kejayaan Red Warriors menjulang kejuaraan tiga piala buat pertama kali tahun ini.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Affandi Hamzah berkata, sepanjang mesyuarat berlangsung pihaknya sedikitpun tidak menyentuh isu perpindahan melibatkan Norshahrul Idlan.

"Perbincangan kita lebih kepada acara sambutan kejuaraan tiga piala yang diraih musim ini. Satu sambutan akan diadakan bagi meraikan kejayaan tersebut bersama peminat.

"Bagaimanapun, tarikh dan masa belum diputuskan. KAFA akan memaklumkan perkara tersebut kemudian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Isu bayaran perpindahan melibatkan Pemain Paling Bernilai pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan baru-baru ini hangat diperkatakan selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bersedia menebus kontrak Norshahrul Idlan bagi membolehkan dia beraksi bersama pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu.

Isu pemain itu semakin panas apabila akhbar Sabtu lalu melaporkan, PBNJ tidak boleh membayar RM1 juta kepada KAFA sebagai tebus kontrak untuk melepaskan Norshahrul Idlan.

Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, ini kerana jumlah itu tidak menepati peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tindakan tersebut mengundang komen daripada penyokong setia Red Warriors yang menyifatkan isu bayaran perpindahan RM1 juta tidak timbul sekiranya Johor (PBNJ) berminat mendapatkan penyerang sensasi negara itu.

Kelab Penyokong Red Warriors Kota Bharu (TRW KB) sebaliknya menyifatkan bayaran tersebut setimpal dengan 'harga' yang dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mengilap bakat Norshahrul Idlan sehingga menjadi penyerang yang disegani dan paling bernilai dalam Liga Malaysia.