October 25, 2012

Kontrak Nwaneri dan Mandjou Dilanjutkan



PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan dua tonggak import, Obinna Nwaneri dan Keita Mandjou sudah menyambung kontrak semusim lagi bersama The Red Warriors (TRW).

Bagaimanapun, dua lagi pemain import, Mohammed Ghaddar dan Mijo Dadic yang masing-masing dari Lubnan dan Croatia masih dalam proses perbincangan sama ada mahu menyambung kontrak untuk musim depan atau sebaliknya.

Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim berkata, khidmat Nwaneri dan Mandjou masih diperlukan untuk musim depan.

“Melihat kepada prestasi cemerlang dipamerkan Nwaneri sepanjang bersama Kelantan, kita menawarkan kontrak baru untuk dia kekal dan Mandjou juga tetap kekal kerana dia akan beraksi untuk Piala AFC, musim depan.

“Mengenai kontrak Ghaddar dan Dadic pula, kita masih berbincang dengan kedua-dua pemain itu dan besar kemungkinan mereka juga akan kekal untuk musim depan,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Dalam pada itu, menurut Azman, kontrak dua lagi pemain import, Denny Antwi dan Emmanuel Okine tidak diperbaharui dan mereka boleh mencari pasukan lain musim depan.

“Antwi dan Okine menyatakan hasrat mereka untuk beraksi di negara ini dan kita akan memberi peluang kepada mereka untuk berhijrah ke mana-mana pasukan yang sedia mendapatkan khidmat mereka.

“Kami tidak mahu menghalang hasrat mereka untuk beraksi dan pihak pengurusan akan menghantar surat tawaran perpindahan kepada beberapa pasukan dalam Liga Perdana dan Liga Super. Kita juga berhasrat mendapatkan pemain baru untuk musim depan, sama ada mendapatkannya dari negeri lain atau memilih pemain skuad Piala Presiden, namun perkara itu masih dalam perbincangan,” katanya.- myMetro