October 25, 2012

Pemain Kelantan Dapat Tunai Umrah



KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan menghadiahkan ganjaran berupa pakej menunaikan umrah kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak The Red Warriors atas kejayaan menjulang kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua, Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob berkata, keputusan tersebut dicapai menerusi mesyuarat Exco hari ini, yang melihat kejayaan Kelantan merangkul piala paling berprestij itu, sekali gus meraih gelaran ‘treble’ pertama merupakan satu sejarah bagi landskap bola sepak negeri ini.

"Kerajaan Negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan di atas kejayaan ini. Kita berasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan barisan pemain yang berjaya membawa pulang piala tersebut buat kali kedua ke negeri ini.

"Jika pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bersedia memberi lot tanah, kita hari ini bersetuju untuk memberikan sumbangan dalam bentuk pakej mengerjakan umrah sebagai tanda penghargaan daripada pihak kerajaan negeri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Dalam perlawanan akhir edisi ke-86 pada Sabtu lalu, Kelantan berjaya menewaskan Angkatan Tentera Malaysia menerusi kemenangan dramatik 3-2 untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh empat tahun.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri pernah menghadiahkan pakej mengerjakan umrah kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kelantan setelah muncul naib juara Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun 2009.

Malah pada tahun 2010, Kerajaan Negeri juga memberikan ganjaran RM200,000 kepada pemain dan pegawai pasukan The Red Warriors setelah berjaya menamatkan penantian selama 89 tahun dengan memenangi Piala Malaysia pada musim tersebut.

Menurut Ahmad, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengadakan jamuan rakyat secara besar-besaran bagi meraikan kejayaan pasukan Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 3 November ini.

"Ia akan dihadiri sendiri Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) bagi meraikan kejayaan itu. Peminat The Red Warriors juga dijemput hadir beramai-ramai memeriahkan majlis tersebut," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad menjelaskan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V juga memberi perkenan untuk berangkat bagi meraikan wira The Red Warriors pada satu lagi majlis yang diatur oleh Kerajaan Negeri tidak lama lagi.- Sinar Harian