October 29, 2012

Kelantan Menafikan Hasrat Norshahrul Idlan Talaha


Juara treble menasihati Norshahrul Idlan Talaha supaya melupakan hasrat menyertai Johor dan menghormati baki kontraknya bersama Kelantan.


Norshahrul Idlan Talaha berharap dapat menyarung jersi Johor untuk musim depan namun dinafikan oleh pihak pengurusannya sekarang, Kelantan.

Penyerang kebangsaan telah membuat permohonan bertulis kepada Kelantan Football Association (KAFA) untuk membenarkannya menyertai Johor pada musim depan, selepas menerima tawaran yang lebih bagus dari pasukan selatan tanah air itu.

Menurut naib presiden KAFA, Rosmadi Ismail, MatYo dinasihatkan supaya akur kepada kontraknya yang masih berbaki setahun.

"Kami telah bermesyuarat dan memutuskan untuk menolak permohonannya kerana dia masih mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Kelantan,"katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun Rosmadi berkata MatYo masih boleh mengemukakan rayuan di atas keputusan KAFA itu.

"Mungkin akan ada tindakan susulan daripadanya (MatYo) dalam kes ini, namun kami belum menerima apa-apa buat masa sekarang. Jadi kita hanya tunggu dan lihat."