October 16, 2012

Edisi Final Piala Malaysia 2012: Ketiadaan Ghaddar Menakutkan Sathia



Ramai yang menganggap ini adalah perang psikologi antara dua pasukan yang berjaya menempatkan diri di final Piala Malaysia 2012 tapi bagi B. Sathianathan, ketiadaan Muhammad Ghaddar dalam final Piala Malaysia amat merungsingkan.

Kelantan bakal melangkah ke padang tanpa penyerang berbisa dari Lubnan pada hujung minggu ini.

Bagi jurulatih ATM, B. Sathianathan, Kelantan masih lagi kuat walaupun tanpa kelibat Ghaddar dan Farhan selepas kedua-dua pemain itu mengutip kad kuning semasa perlawanan separuh akhir kedua menetang Selangor pada Jumaat lepas.

"Saya lebih suka sekiranya Ghaddar bermain. Dia bermain secara individu dan saya tahu bagaimana untuk mengekangnya. Namun apabila Indra dan Norsharul bermain, sukar untuk saya mengekang jentera Kelantan kerana mereka pasti akan bermain dengan semangat berpasukan yang tinggi."

Bekas jurulatih Kelantan itu juga mengakui bahawa Kelantan merupakan pasukan pilihan untuk menjadi juara Piala Malaysia 2012.

"Kelantan pasti menjadi pasukan pilihan. Mereka mempunyai pasukan yang mantap dan kejayaan mereka merangkul juara Liga Super merupakan bukti kekuatan mereka yang begitu konsiten."

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 dijadualkan berlangsung pada Sabtu 20 Oktober 2012 di Stadium Shah Alam.