September 16, 2012

Terkini! Kelantan gugurkan Mat Yo



Juara Malaysia membuat keputusan tidak memilih Mat Yo ke Iraq

Penyerang kebangsaan Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha tidak akan bersama Kelantan untuk menentang SC Arbil dalam perlawanan suku akhir Piala AFC.

Reds Warriors membuat pemilihan yang sensasi apabila tidak menyenaraikan nama Mat Yo akibat prestasi hambar pemain itu dalam kempen Piala Malaysia.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata keputusan itu dibuat demi kebaikan pemain itu sendiri.

"Dia sekarang berada di bawah tekanan untuk menghasilkan gol. Jadi jawatankuasa pengurusan merasakan dia perlu direhatkan dalam perlawanan ini. Kita memerlukan pasukan yang kuat dalam perlawanan ini namun kita tidak mempunyai pilihan lain," katanya.

Penyerang berusia 26 tahun itu hanya menjaringkan satu gol buat Kelantan sepanjang kempen Piala Malaysia.

Kelantan yang berlepas ke Iraq hari ini sudah menerima berita yang kurang enak apabila mereka kehilangan empat tonggak utama iaitu Muhammad Ghaddar, S. Subramaniam, Obinna Nwaneri dan Rizal Fahmi.