May 24, 2012

Kelantan 3-2 Terengganu: Kelantan Mara Ke Suku AKhir AFC Walau Dengan 10 Pemain



Perlawanan terpaksa ditangguhkan selama 45 minit akibat daripada hujan lebat namun peminat setia Kelantan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing, akhirnya menyaksikan pasukan kesayangan mereka memperolehi kemenangan yang berharga. Cukup mengagumkan, The Red Warriors menyerang ibarat peluru berpandu apabila mereka berjaya mendapatkan gol mudah seawal minit kedua hasil jaringan Norfarhan.


Kelantan terus membina satu corak permainan yang menarik walaupun dalam keadaan padang basah dan hasilnya Kelantan berjaya menambah jaringan melalui gol kedua Norfarhan apabila berjaya memastikan bola menerjah gawang Terengganu hasil daripada sepakan penjuru.


Terengganu begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gol. Forkey Doe dilayangkan kad kuning apabila mengasari pertahanan Kelantan.


Kelantan kemudian menjaringkan gol ketiga melalui sepakan percuma dari Rizal 'The Rocket Man'. Sepakan percuma sejauh 25 meter itu berjaya menewaskan Sharbinee dan seolah-olah menutup terus peluang Terengganu dalam peringkat kalah mati ini.


Memasuki separuh masa kedua, corak permainan Terengganu berubah secara mendadak apabila melakukan serangan yang bertali arus ke kubu Kelantan.


Hasil daripada kerja keras Terengganu, Ismail Faruqi berjaya menjaringkan gol cantik untuk kedudukan 3-1.


Pada minit ke-84, Obinna Nwaneri menjatuhkan Hadi Yahya di dalam kotak dan pengadil perlawanan tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti kepada Terengganu. Obinna juga dilayangkan kad merah  selepas membantah keputusan pengadil perlawanan. Forkey Doe tidak mensia-siakan peluang yang ada apabila mudah menewaskan khairul Fahmi Che Mat untuk Terengganu merapatkan jurang jaringan menjadi 3-2.


Bermain dengan 10 orang pemain menjadikan Kelantan lebih banyak bertahan. Terengganu jelas gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan Kelantan yang dikawal ketat oleh jentera pertahanan Red Warriors.


Kemenangan ini pasti menjadi satu pembakar semangat buat Kelantan untuk meneruskan rentak cemerlang dalam perlawanan suku akhir Piala AFC nanti.


Note: KAFA mungkin akan didenda RM10 RIBU akibat sikap tidak bertamadun segelintir penyokong yang membaling objek dan mercun ke dalam padang.