May 23, 2012

AFC Cup Preview: Kelantan vs Terengganu



Kelantan kini masih segar dengan kemenangan Piala FA yang pertama kali buat mereka pada Sabtu lepas, namun mereka kini harus bersedia untuk cabaran menentang Terengganu esok. Pemenang dalam perlawanan malam esok akan dapat meneruskan perjuangan ke peringkat suku akhir Piala AFC, yang setakat ini hanya berjaya dicapai oleh Selangor pada tahun 2006.


Bekas jurulatih Kelantan, Peter James Butler kini telah menjadi sebahagian daripada musuh Kelantan dalam pertemuan malam esok. Jurulatih berbangsa Inggeris itu telah dibuang oleh KAFA pada bulan Mac lalu, mungkin akan menjadikan perlawanan malam esok sebahagian daripada misi membalas dendamnya.


Jurulatih Kelantan Bojan Hodak pula mungkin berada dalam tekanan apabila S. Subramanian masih lagi belum pulih dari kecederaan. Jadi mungkin Rizal Fahmi sekali lagi akan digandingkan dengan Obinna Nwaneri di bahagian pertahanan tengah.


Di bahagian tengah pula, Badhri Radzi (Piya) akan digandingkan bersama Nurul Azuan Roya.


Bojan juga dilihat bakal menggandingkan Norshahrul Idlan Talaha bersama dengan FA Winner Man Muhammad Ghaddar di bahagian hadapan untuk memberi impak yang lebih menggerunkan kepada jentera pertahanan Terengganu.


Bagi Terengganu pula, Muslim Ahmad akan diberi kepercayaan untuk mengemudi bahagian pertahanan. Jadi menjadi tanggungjawab Muslim untuk cuba mengawal Ghaddar dan Obinna Nwaneri sekiranya Kelantan memperolehi set-pieces.


Sang Penyu juga meletakkan harapan yang tinggi kepada penyerang mereka Forkey Doe untuk membolosi gawang Kelantan. Doe telah menjaringkan 12 gol sepanjang musim ini dan ianya mungkin bertambah sekiranya pertahanan Kelantan memberi terlalu banyak ruang kepadanya.


Perlawanan antara dua musuh setempat ini pasti akan menjadi perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh kedua-dua penyokong dan juga peminat bola sepak Malaysia.