February 17, 2012

Selangor Bebas Gelora



KISAH 'rumah tangga' Gergasi Merah, Selangor masih di dalam fasa yang cukup membahagiakan.


Spekulasi betapa juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu mengalami krisis dalaman sebelum ini ternyata tidak berasas.


Yang pasti, hubungan antara pemain baharu dan lama skuad Merah Kuning masih bertaut rapat, manakala dakwaan 'nakal' yang mengatakan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim 'tidak sebulu' dengan barisan pemain juga mengarut sama sekali.


Buktinya, Gergasi Merah berjaya membenam cabaran peneraju liga, Kelantan dengan keputusan 2-1 dalam aksi Liga Super, Selasa lepas, sekali gus memperbaiki kedudukan pasukan itu dalam liga dengan mengutip 12 mata.


Sudah pasti pasukan berstatus kelab, Shahzan Muda bakal menjadi mangsa amukan Selangor yang seterusnya bagi aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Temerloh, Pahang malam esok.


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin juga menafikan wujudnya pergolakan dalam kem Selangor ketika ini.


Menurut beliau, hasil 'bedah siasat' yang dibuat pihaknya baru-baru ini mendapati prestasi hambar pasukan Merah Kuning dalam beberapa perlawanan awal Liga Super sebelum ini bukannya berpunca daripada krisis dalaman seperti mana yang pernah melanda pasukan itu beberapa tahun sebelum ini.


Sebaliknya, ia hanyalah disebabkan oleh moral sebahagian besar pemain Selangor yang mudah merosot setiap kali tewas dalam beberapa perlawanan awal musim ini.


"Ia tidak betul, prestasi hambar Selangor sebelum ini bukannya berpunca daripada krisis dalaman.


"Soal ini (moral pemain) adalah sesuatu yang subjektif.


"Saya percaya ia akan dapat diatasi segera oleh pemain Selangor," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.


Untuk rekod, segelintir pemain Selangor didakwa pernah bertelagah sesama sendiri kira- kira sedekad yang lalu sebelum segera diselesaikan pengurus, Datuk Mokhtar Ahmad menerusi satu majlis makan malam.


Sementara pada tahun 1993, jurulatih kelahiran Jerman, Bernard Schumm juga dikatakan terpaksa 'angkat kaki' kerana dikhabarkan 'tidak sebulu' dengan pemain Gergasi Merah sebelum digantikan Ken Worden.


Dalam pada itu, Hamidin yakin penyerang import baharu mereka, Bosko Balaban, 34, dapat meneruskan rentak kecemerlangannya meledak gol buat Selangor ketika menentang Shahzan Muda malam esok.


"Balaban yang menggantikan Lelo Mbele telah ditawarkan kontrak selama setahun sehingga November depan.


"Saya harap bekas pemain Dinamo Zagreb dan Aston Villa itu mampu membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang berbisa Selangor," katanya.