February 5, 2012

Rambut Buat Rooney Pening


PADA awal tahun ini, Wayne Rooney telah membayar 30,000 pound (RM143,000) untuk menyelesaikan masalah rambutnya, namun hanya sebulan kemudian bintang penyerang Manchester United itu mendapati ia kembali menipis.

Rooney telah berusaha pelbagai cara untuk menyembunyikan masalah tersebut dengan mencuba beberapa gaya berbeza, namun dia hanya membazirkan wang kerana rambutnya yang hampir botak tetap tidak dapat ditutup.

Ketika muncul di lapangan terbang di London bersama rakan-rakan sepasukan baru-baru ini, penyerang itu dilihat menghitamkan rambutnya untuk menutupi bahagian yang hampir menampakkan kulit kepala, begitupun dia masih tidak dapat menyorokkannya daripada pihak media.

Bapa kepada seorang anak lelaki ini juga mencuba pelbagai jenis gel untuk mengayakan rambutnya dengan fesyen-fesyen berbeza, namun Rooney tetap Rooney dan tiada apa yang berubah.

Sedar penampilannya menjadi tumpuan media, dia membuat muka serius ketika menolak troli melalui terminal lapangan terbang tersebut tanpa menoleh ke arah sekumpulan peminat yang menanti.

Malah media Britain melaporkan, proses menanam rambut yang dilakukan Rooney pada Disember lalu tidak berjalan seperti yang diharapkan kerana rambutnya berubah menjadi terlalu perang, dan itu membuatkan dia tidak gembira.

Pengarah klinik rambut yang bertanggungjawab membuat perubahan ke atas pemain itu bagaimanapun menegaskan, perubahan warna pada rambut selepas proses menanam dilakukan merupakan perkara biasa, namun ia tetap tidak menggembirakan Rooney.

"Ia mustahil untuk menilai kesan penuh proses menanam rambut itu sekarang, ia memerlukan sekurang-kurangnya 6 hingga 12 bulan baru kita dapat melihat hasilnya.

"Proses tersebut lebih kurang seperti proses menanam pokok. Kita perlu menunggu akar benar-benar kuat dan mencengkam, selagi itu macam-macam perkara boleh berlaku, termasuk perubahan warna rambut,'' kata pengarah tersebut.

Menurut media Britain, Rooney sudah memulakan rawatan rambut di sebuah klinik di London sejak awal Jun lalu dan perkembangan pertumbuhan rambutnya diikuti rapi oleh klinik berkenaan sehingga hari ini.

Ketika mendedahkan mengenai rawatan yang diambilnya tahun, pemain itu berkata: "Umur saya baru 25 tahun tetapi saya sudah hampir botak, jadi tidak salah bukan saya melakukan rawatan ini." - AGENSI