February 7, 2012

Hart Bakal Dapat Lilitan Lengan?

MANCHESTER - Penjaga gol Manchester City, Joe Hart mengakui amat teruja apabila dirinya dikaitkan sebagai calon kapten England yang baru ekoran keputusan Persatuan Bolasepak (FA) melucutkan jawatan John Terry buat kali kedua.

Hart, 24, menjadi calon utama untuk mengetuai pasukan Three Lionspada pusingan akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2012, musim panas ini kerana penjaga utama City itu antara pemain yang sudah menjamin tempatnya dalam semua perlawanan.

Pada ketika Rio Ferdinand atau Steven Gerrard mungkin tidak diturunkan dalam kesebelasan pasukan, pintu masih terbuka untuk pengurus England, Fabio Capello memilih kapten baru, dan Hart tidak akan menolak jika dia menjadi pilihan.

"Adakah anda akan tolak? Saya amat teruja apabila nama saya dikaitkan sebagai calon kapten yang baru.

"Bagaimanapun untuk diri saya, dapat bermain dalam kesebelasan pasukan sudah cukup menggembirakan dan saya tidak kisah mengenai kapten.

"Kejohanan itu masih jauh. Sekarang, saya sedang mengharungi musim yang sangat penting untuk Manchester City dan selepas itu baru saya bermain bersama England. Ketika ini, tumpuan saya hanya memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang diturunkan.

"Namun begitu, saya percaya, sesiapa saja yang menunjukkan prestasi konsisten bersama skuad England layak dipilih sebagai kapten. Saya melihat, ada ramai lagi calon yang lebih kuat berbanding saya,'' kata Hart.

Hart berjaya memastikan gawang pasukannya bersih ketika membantu City menumpaskan Fulham 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Kemenangan itu membolehkan mereka kekal di takhta liga dengan kelebihan dua mata mengatasi Manchester United, yang seri 3-3 di Chelsea, semalam.

Pada perlawanan tersebut, Edin Dzeko hampir merobek gawangnya sendiri apabila bola tendangan sudut yang diambil pemain lawan terkena badannya lalu melantun ke arah pintu gol sendiri, mujur Hart berjaya menyelamatkan keadaan.

"Saya sudah biasa dengan keadaan seperti itu. Walaupun bermain dengan Manchester City, anda tidak boleh menjangkakan hanya akan berdepan dengan perkara yang baik-baik saja. Saya berusaha memahirkan diri menghadapi situasi yang tidak diduga,'' kata Hart lagi.

Menurut Hart, pada awal musim Liga Perdana, mana-mana pasukan boleh membolosi gawang City, namun kini tugas mereka tidak lagi mudah.

"Saya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang bola daripada memasuki gawang, tetapi pemain lawan tahu apabila mereka cuba hendak membolosi gawang saya, saya sentiasa ada di situ menghalang,'' katanya.

Kemenangan ke atas Fulham, Sabtu lalu juga menyaksikan penyerang City, Sergio Aguero menyumbat gol ke-18 musim ini menerusi sepakan penalti, sebelum mencipta gerakan untuk gol ketiga yang disempurnakan oleh Dzeko. - AGENS