December 2, 2011

Terengganu Tak Minat



ANTARA pemain asing (jersi putih) yang menjalani ujian bersama skuad Terengganu sempat beraksi dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini. Bagaimanapun, mereka gagal memikat hati barisan penilai pasukan itu.

DALAM tempoh tidak sampai dua minggu, pasukan Terengganu telah menghantar pulang lapan pemain asing selepas kesemua mereka gagal memikat hati barisan penilai dalam sesi pemilihan yang diadakan sejak 22 November lalu.
Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berkata, selain tidak memenuhi kriteria yang diperlukan, rata-rata kualiti yang dimiliki pemain asing itu jauh lebih rendah berbanding pemain tempatan.
Justeru katanya, beberapa lagi sesi ujian dan pemilihan akan dilakukan bagi mencari dua pemain import yang benar-benar mempunyai pakej lengkap dalam usaha membentuk sebuah pasukan mantap musim depan.
“Lapan pemain asing yang dihantar pulang ialah tiga dari Ghana, dua Brazil, dua Rusia dan seorang dari England.
“Kesemua mereka telah diuji dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, namun tiada seorangpun yang berjaya memikat hati saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelas Mat Zan, pasukan Terengganu yang juga naib juara Piala Malaysia dan juara Piala FA 2011 sebenarnya memerlukan dua pemain import yang beraksi di posisi serangan dan tengah bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
“Kami mahu pemain import yang mempunyai kualiti yang tinggi dan memiliki pakej yang lengkap.
“Jadi, pemain itu sekurang-kurangnya mampu menjaringkan gol, menggelecek bola, mempunyai larian yang laju serta boleh beraksi sebagai sebuah pasukan,” kata Mat Zan.
Beliau turut menjelaskan, dua lagi pemain asing dari Nigeria bakal diuji Isnin ini apabila Terengganu turun pada aksi persahabatan menentang skuad Sukma negeri.
“Kami harap ada perkembangan positif daripada dua pemain ini dan jika gagal juga, kami akan terus menguji pemain asing bagi memastikan hanya yang terbaik dapat menyarung jersi pasukan tahun depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mat Zan tanpa berselindung mengakui sasaran utamanya dalam kempen Liga M musim depan adalah untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala bagi menyamai pencapaian pasukan Terengganu tahun ini.
Namun, bekas pengendali KL Plus dan Kuala Lumpur itu mengakui, beliau kini memikul tanggungjawab yang besar bagi memastikan skuad Penyu itu kekal dalam kelompok pasukan elit.
“Kalau boleh, saya ingin membantu pasukan memenangi trofi Liga Super kerana Terengganu belum pernah memenangi kejuaraan ini,” jelasnya.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!