February 7, 2012

Amaran Red Devils!



LONDON - Penyerang Manchester United, Wayne Rooney percaya semangat juang tinggi yang dipamerkan barisan pemain skuad The Reds Devils ketika mengikat keputusan seri 3-3 dengan Chelsea dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam bakal menjadi nadi utama untuk bergelar juara musim ini.
Kenyataan Rooney itu sekaligus melaungkan amaran buat pendahulu liga, Manchester City bahawa mereka tidak boleh merangkul kejuaraan liga lebih awal sebaliknya bakal ditentukan sehingga saingan musim ini tamat.
Terdahulu, United yang di bawah kendalian Alex Ferguson kembali bangkit selepas ketinggalan 0-3 untuk mencatatkan keputusan seri di Stamford Bridge.
Pada awalnya, Chelsea dilihat berpeluang cerah mengutip tiga mata penuh apabila mendahului perlawanan hasil jaringan sendiri tonggak pertahanan United, Jonny Evans pada minit ke-36, Juan Mata (46), David Luiz (50).
Bagaimanapun, anak-anak buah Ferguson tidak mudah menyerah kalah apabila berjaya menyamakan kedudukan hasil dua sepakan penalti yang disempurnakan Rooney pada minit ke-58 dan 69.
Bintang muda Mexico, Javier Hernandez muncul penyelamat apabila meledak gol ketiga Red Devils pada minit ke-84 sekaligus memberikan satu mata berharga.
Berdasarkan aksi yang dipamerkan rakan-rakan sepasukan, Rooney percaya City pasti tidak senang duduk melihat situasi tersebut.
"Memang kami (United) terlepas dua mata tetapi selepas ketinggalan 3-0, kesemua barisan pemain City yang menonton perlawanan itu pasti tidak menyukainya apabila kami tampil dengan semangat juang tinggi untuk menyamakan kedudukan.
"City tahu, ia akan menjadi satu persaingan yang panjang iaitu sehingga tamat saingan musim ini," kata Rooney.
Sementara itu, pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas mempertikaikan keputusan pengadil, Howard Webb yang menghadiahkan sepakan penalti pertama kepada United.
"Sepakan penalti yang pertama memang wajar diberikan kepada United. Namun, sepakan kedua meragukan.
"Saya tidak pasti sama ada Webb berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan tetapi memang suatu yang malang apabila dia memberikan sepakan penalti kepada United," jelas Villas-Boas. - AFP