January 26, 2012

Wenger Bakal Terajui Real Madrid?


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger merupakan salah seorang daripada dua individu yang disenaraikan pendek bagi menggantikan jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho.
Selain Wenger, jurulatih Jerman, Joachim Low turut dilihat sebagai calon terbaik bagi mengendalikan kelab gergasi Sepanyol itu.
Sebelum ini, Mourinho tanpa berselindung mengakui bahawa dia berkemungkinan tidak akan lagi membimbing Real pada musim depan.
"Saya tidak pasti sama ada saya akan menjadi jurulatih Real ataupun tidak pada musim depan," kata Mourinho.
Sebelum ini, Mourinho berdepan provokasi daripada para penyokong setia The Galacticos selepas beliau didakwa berselisihan faham dengan pemain.
Ini kerana, Mourinho mendakwa beberapa pemain bintangnya menjadi pengkhianat apabila mendedahkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya kepada media.
Disebabkan kontroversi tersebut, masa depannya bersama Real kini menjadi tanda tanya.
Sementara itu, menurut laporan media tempatan, Real menganggap kini adalah masa yang sesuai untuk mengemukakan tawaran kepada Wenger selepas skuad kendaliannya bergelut dengan prestasi tidak menentu musim ini.
Sebagai rekod, Real pernah menawarkan kontrak kepada Wenger bagi membimbing pasukan itu pada 2009 namun ditolak oleh pengurus kelahiran Perancis itu. - Agensi