January 26, 2012

Buat Hal, Gaji Tevez Dipotong


MANCHESTER - Penyerang Manchester City, Carlos Tevez sekali lagi terlibat dalam kontroversi, kali ini dia didenda potong gaji enam minggu kerana pulang ke Argentina tanpa kebenaran kelab.


Sumber kelab itu bagaimana pun tidak menyatakan butiran terperinci jumlah gaji Tevez yang dipotong tetapi media tempatan melaporkan Tevez dibayar 200,000 pound (RM961,000) seminggu.

Ini bermakna gaji Tevez dipotong sebanyak kira-kira 1.2 juta pound atau RM5.7 juta.

Akibat persengketaan dengan City, secara keseluruhan Tevez rugi lebih 9 juta pound (RM42 juta) kerana didenda, kehilangan pendapatan serta bonus.

Penyerang Argentina itu mengorbankan 6 juta pound (RM29 juta) daripada bonus kesetiaannya selepas memohon untuk bertukar kelab musim lalu.

Media melaporkan dia belum dibayar sejak November lalu, selain dipotong gaji dua minggu pada September lalu.

Tevez dilaporkan mahu City dan dikaitkan dengan dua gergasi Itali, AC Milan dan Inter Milan, selain gergasi Perancis, 
Paris St Germain (PSG).

Namun, City menyatakan dengan jelas mereka tidak akan menerima sebarang tawaran yang gagal memenuhi tuntutan kewangan kelab itu.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang tidak pernah beraksi sejak enggan memanaskan badan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, September lalu, menimbulkan kemarahan kelab Liga Perdana Inggeris itu kerana menghilangkan diri sejak November lalu. Dia dilihat mahu kekal dengan keadaan tersebut sehingga tempoh perpindahan pemain ditutup hujung bulan ini.

"Sebagai respons kepada spekulasi, kelab mengesahkan Carlos Tevez didapati bersalah dalam mesyuarat disiplin yang diadakan pada 21 Disember kerana kesalahan salah laku berat, iaitu pelanggaran serius kontrak dan telah didenda potongan gaji enam minggu," kata sumber tersebut. - REUTERS