“Daripada kita rugi masa dan duit hasil pelaburan membeli pemain import, lebih baik kita tolong pemain kita beraksi dalam saingan Liga Malaysia, sekali gus meningkatkan kualiti permainan.
Dia menambah tindakan itu wajar kerana kehadiran pemain import bertujuan meningkatkan kualiti permainan bola sepak negara.
Namun, katanya, jika prestasi hambar dan permainan tidak berkualiti dipersembahkan mereka, ia bukan sahaja merugikan pengurusan FA dan kelab, malah tidak memberi kebaikan kepada pemain tempatan.
Tengku Abdullah berkata, pengurusan FA dan kelab yang ingin mengambil pemain import mempunyai kuasa menyenarai dan memecat jika kehadiran mereka tidak membantu meningkatkan kualiti bola sepak negara.
Katanya, dari segi FAM, pihaknya mahu pemain import yang beraksi di negara ini berkualiti dan berdisiplin tinggi membantu memajukan sukan bola sepak.
“Jika pemain import berkenaan tidak berkualiti, kita jangan terus mengharap untuk mereka berubah dan mengikut corak permainan. Lebih baik kontrak mereka ditamatkan.
“Dalam hal ini, saya harap pengurusan FA dan kelab meletakkan syarat tertentu seperti memberi tempoh dan jika gagal, kontrak ditamatkan,” katanya.