January 26, 2012

Tebus Maruah - Ong Kim Swee


ATAS kertas, peluang skuad Olimpik negara untuk mara ke peringkat seterusnya pada pusingan Kelayakan Olimpik 2012 (Zon Asia) tampak sukar.
Selepas tewas 2-3 kepada Bahrain pada saingan peringkat Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada November lalu, slot untuk ke saingan penentuan kini dilihat semakin tertutup rapat buat skuad kendalian Ong Kim Swee itu.
Sebelum itu, skuad negara tewas 0-2 pada aksi pembukaan kepada Jepun diikuti kekalahan kepada Syria.
Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan hasrat Harimau Muda untuk menjejakkan kaki ke bumi London tahun ini akan menemui kegagalan jika keputusan yang dicatat pada pusingan pertama peringkat kumpulan sebelum ini berulang pada kempen pusingan kedua kelak.
Namun, dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku dan tiada yang mustahil.
Berpegang dengan hakikat tersebut, Kim Swee mengharapkan sedikit keajaiban pada aksi pusingan kedua kelak dengan harapan mampu mencipta kejutan, sekali gus menjejak kaki ke bumi London.
Apa yang bermain di kotak fikiran pengendali berasal dari Melaka itu adalah Harimau Muda perlu menebus semula maruah yang tercalar dalam baki tiga perlawanan akan datang bermula dengan perhitungan menentang Bahrain pada 5 Februari depan.
Katanya, beliau tetap bersikap positif dan berharap kegagalan lalu tidak akan berulang.
“Sudah tentu saya melihat perlawanan Kelayakan Olimpik 2012 peringkat Kumpulan Zon Asia dari sudut yang positif.
“Pasukan ini sudah didedahkan dalam beberapa perlawanan antarabangsa dan saya yakin mereka lebih bersedia.
“Selain pendedahan, mereka juga dapat menimba pengalaman yang cukup tinggi. Namun, kami belajar dari kesilapan lalu dan bersedia untuk memberikan yang terbaik menjelang pertemuan menentang Bahrain,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ditanya mengenai langkah menyenaraikan penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Mohd. Ali, beliau menjelaskan bahawa prestasi pemain tersebut dilihat agak konsisten.
“Saya tidak menilai seseorang pemain itu melalui satu perlawanan sahaja sebaliknya mengikuti perkembangannya,” jelasnya.
Jelasnya, apa yang menjadi keutamaan beliau ketika ini adalah pemain yang mempamerkan aksi yang konsisten wajar diberi peluang menyarungi jersi skuad kebangsaan.
“Saya percaya khidmat Syakir amat ditagih oleh negara kerana dia memiliki sentuhan penyudah yang cukup baik dan pemain berusia 21 tahun itu mempunyai pengalaman beraksi dipentas antarabangsa,” jelasnya.