January 26, 2012

Balotelli Ditindas


MANCHESTER - Penyerang Manchester City, Mario Balotelli rasa ditindas dan mungkin meninggalkan bola sepak England jika apa yang dilihatnya sebagai 'layanan tidak adil' berterusan, kata ejennya kelmarin.

Pemain Itali berusia 21 tahun itu berdepan penggantung empat perlawanan selepas didakwa berkelakuan ganas oleh Persatuan Bola Sepak (FA), ketika pasukannya menang 2-1 ke atas Tottenham Hotspur pada pertembungan Liga Perdana Inggeris Ahad lalu.

Ia merupakan insiden terbaru yang menjadi perhatian, selepas beberapa siri kontroversi sejak dia menyertai City pada 2010.

"Saya fikir dia rasa tertindas, dia tidak boleh berterusan begitu,"

"Kami mempunyai imej yang amat jelas mengenai kariernya sejak awal. Saya beritahu media secara terbuka Mario bahawa perlu kekal di Manchester City sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun. Dia harus membantu kelab untuk projek penting dan membesar sebagai seorang lelaki dan seorang pemain.

"Yang jelas jika dia digantung setiap tiga atau empat perlawanan atas alasan atau yang lain, kami tidak mampu berterusan begitu dan ini perlu dihentikan.

"Jadi jika itu masalahnya dan pengadil England dan FA England mahu Mario keluar dari England, maka kami akan mengambilnya secara serius walaupun jika ia bukan begitu dan bukan hasrat kami," kata ejen Mino Raiola kepada BBC Radio 5 Live.

Balotelli menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan hasil penalti 3-2 ke atas Spurs, tetapi kemudian mendapati dirinya dalam bahaya selepas ulang tayang video menunjukkan dia seperti mahu memijak kepala pemain tengah Tottenham, Scott Parker.

Pengadil Howard Webb tidak mengambil apa-apa tindakan.

Balotelli dibuang padang tiga kali dalam tempoh kurang 18 bulan dengan kelab itu, diberi peluang merayu tetapi penolong jurulatih, David Platt mengandaikan bahawa tindakan itu kadang kala sia-sia.

Kelab itu kalah dalam rayuan mereka terhadap kad merah pertahanan tengah, Vincent Kompany awal bulan ini. - Reuters