January 18, 2012

Sime Darby Diawasi Tentera



SELEPAS berjaya mengutip sembilan mata maksimum, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berazam untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana musim ini.
Kejayaan menewaskan Harimau Muda B 2-0 hasil jaringan Hairuddin Omar dan Christie Jayaselan kelmarin masih belum memadai buat pengendali, B. Sathianathan.
Sathianathan berkata, barisan masih belum menemui rentak sebenar.
Meskipun mengakui berpuas hati dengan kemenangan itu, Sathianathan tetap menuntut supaya para pemainnya beraksi dengan lebih kemas dari segi permainan.
Pertemuan menentang Sime Darby pasti menjanjikan suatu perlawanan yang menarik di samping tidak mahu anak-anak buahnya memandang rendah aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat ini.
"Terlalu awal untuk (pemain menyesuaikan diri) bagi mendapat rentak yang sempurna.
"Saya berpuas hati dengan kejayaan memperoleh tiga mata bertemu dengan Harimau Muda B tetapi mutu permainan kami agak sedikit mengecewakan. Saya berharap mereka terus berusaha untuk memperbaiki rentak.
"Bertemu dengan Sime Darby, di mana kelab ini juga bercita- cita seperti kami iaitu mahu beraksi di Liga Super pada musim depan, bakal menjadikan perlawanan ini semakin sengit.
"Sime Darby mahu bangkit dan mendapatkan tiga mata berharga di laman sendiri selepas tewas kepada Pahang.
"Jadi, saya mahu pemain-pemain saya mengekalkan konsisten dan fokus menjelang pertemuan pada 20 Januari nanti.
"Jangan terlalu memandang rendah terhadap keupayaan Sime Darby," katanya kepada Kosmo!semalam.
Pada masa yang sama, Sathianathan menegaskan, beliau tidak berasa sebarang tekanan untuk meneruskan kegemilangan bersama ATM yang dibarisi pemain berstatus bintang seperti Bruno Sebastian Marteloto, Marlon Alex James dan pasangan kembar, Mohamad Aidil Zafuan dan Mohamad Azquan Adha Abd. Razak
Tambahnya, situasi itu pernah dihadapinya ketika membimbing Kelantan.
"Perkara biasa (apabila mengemudi kelab besar). Tekanan itu hadir apabila penyokong sentiasa mengharapkan kemenangan dalam setiap perlawanan.
"Saya pernah menghadapi situasi itu ketika bersama Kelantan dan buat masa ini, ATM tidak berdepan sebarang tekanan. Saya percaya, penyokong pasti memahami dunia bola sepak.
"Kami tidak akan memenangi pada setiap perlawanan tetapi kami berjanji akan berjuang habis-habisan untuk memberikan yang terbaik," katanya.--Kosmo