January 18, 2012

Young Turtle Gah Di Persada


KELAB dari Terengganu, T-Team terus kekal di tangga teratas Liga Super biarpun mereka sekadar seri 0-0 dengan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. 

Selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Kedah dan Kuala Lumpur, anak buah Yunus Alif garang di awal permainan, namun Zacharia Simukonda mempersiakan dua peluang terbaik pada minit ke-11 dan 14 apabila sekadar melakukan sepakan lemah yang mudah diselamatkan penjaga gol Sabah, Azizon Kadir.

Padang basah disebabkan hujan sebelum kedua-dua pasukan turun beraksi nyata menjejaskan sedikit rentak permainan.
Sabah turut memiliki peluang terbaik pada minit ke-17 tetapi penyerang import, Michael Baird gagal menanduk tepat sepakan sudut biarpun penjaga gol T-Team, Iqbal Suhaimi sudah meninggalkan gawangnya. 

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat kendalian Justin Ganai terus memiliki peluang untuk memecah kebuntuan, namun Bobby Gonzales gagal menyempurnakannya biarpun hanya berdepan Iqbal pada minit ke-63 dan 74. 

Peluang terbaik Sabah menyusul pada minit ke-77 dan kali ini rembatan Baird berjaya diselamatkan oleh Iqbal. 

T-Team turut mempunyai beberapa peluang menerusi Simukonda, namun penyerang import itu mempersiakannya apabila terjatuh ketika mengelecek bola.