January 15, 2012

Selangor Terus Bangkit


SELEPAS bangkit mengikat Negeri Sembilan 2-2 di Paroi pada aksi sulung Liga Super, Selasa lalu, Selangor terus mempamer peningkatan apabila berjaya menewaskan Perak 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Jaringan tunggal Safiq Rahim pada minit ke-23 sudah cukup untuk memberi Selangor tiga mata menumbangkan Perak yang mengejutkan Terengganu 1-0 di Ipoh, Selasa lalu.

Babak pertama jelas memperlihat penguasaan Selangor yang melancarkan serangan penuh variasi sambil Perak sesekali mendapat peluang tetapi disekat kekebalan benteng pertahanan Selangor diketuai Ramez Dayoub.
Gol Selangor terhasil pada minit ke-23 menerusi penyudah kemas Safiq dalam kotak penalti selepas menyambut baik lambungan Amri Yahyah yang terdahulu melakukan gerakan solo melepasi empat pemain Perak.

Bersambung babak kedua, anak buah Norizan Bakar mula dilihat berjaya mengimbangi penguasaan permainan pasukan tuan rumah kendalian Irfan Bakti Abu Salim namun ketumpulan jentera serangan Perak diketuai Lazar Popovic menghampakan.

Selangor lebih mencipta banyak peluang terbaik antaranya menerusi Amri pada minit ke-74 dan Amirulhadi, lima minit kemudian.

Peluang terbaik Perak menyamakan kedudukan hanya hadir pada minit ke-84, namun sepakan penyerang gantian, Failee Ghazali sedikit tersasar walaupun penjaga gol Selangor, Norazlan Razali sudah tertewas.--Bharian