January 15, 2012

Jangan Politikkan Sukan



KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melanjutkan tarikh mendaftar pemain import kurang disenangi peminat tempatan.
Ramai yang menyifatkan bahawa badan indik bola sepak negara itu tidak mempunyai pendirian yang teguh.
Perbincangan semakin hangat dalam laman sosial Facebook dan ramai peminat menyatakan bahawa FAM tidak mempunyai prinsip tetap.
Segelintir peminat pula menyifatkan FAM sebagai 'penakut'.
Akan tetapi, peminat di negara ini masih percaya integriti FAM masih terpelihara apabila keputusan terbaharu yang mereka buat berkenaan pendaftaran pemain import itu sebagai satu keputusan yang ‘sihat’ bagi menjamin perpaduan industri bola sepak tempatan yang dilihat sanggup beralah demi semangat kesukanan.
Permulaan kontroversi pemain import ini tercetus apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerima surat pekeliling bertarikh 23 Disember lalu yang menyatakan PBSNT mendapat keistimewaan untuk melanjutkan tarikh pemain import pada 4 Januari lalu.
Namun, kegembiraan Terengganu selepas berjaya mendapatkan dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil hanya bertahan seketika.
Kekecohan terus berlaku apabila Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan pemain-pemain itu hanya layak beraksi pada kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sahaja dan bukannya untuk Liga Malaysia (Liga M).
Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh meluahkan rasa kecewanya kerana 'kesilapan' FAM terpaksa ditanggung oleh pasukannya dan meminta Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin memohon maaf secara terbuka kepada PBSNT.
Keadaan semakin bertambah panas selepas Hamidin kesal dengan tuduhan yang dilabelkan 'celupar' oleh Che Mat dan tetap dengan pendiriannya yang dua pemain import tersebut tidak layak beraksi di Liga M.
Kemelut itu tidak terhenti di situ sejurus kekalahan Terengganu di tangan Perak 0-1 kerana Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ternyata naik berang dengan sikap kurang profesional FAM berhubung kekeliruan surat pekeliling tersebut.
Ahmad yang mengaku sendiri membaca surat berkenaan, FAM secara jelas menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga M 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari ini.
Tanpa berselindung, Ahmad mengancam untuk menarik penyertaan Terengganu dan T-Team yang beraksi di Liga-M sambil mahu menyaman FAM. Akhirnya, FAM mencapai kata sepakat pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) kali ke-15 kelmarin untuk melanjutkan tarikh pendaftaran pemain import kepada 13 Februari depan.
Mengulas lebih lanjut, pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim memberitahu yang beliau percaya tindakan FAM ini adalah relevan di samping tidak mewujudkan persengketaan.
Jelasnya, beliau menasihatkan FAM supaya mengambil golongan profesional dalam sukan bola sepak bagi membantu melicinkan pentadbiran FAM sekali gus berharap kontroversi seperti ini tidak berulang pada masa akan datang.
“FAM perlu ada seseorang (juru profesional) yang mendalami hal ehwal bola sepak.
“Kini, bola sepak negara semakin menghampiri zaman kegemilangan selepas berjaya meraih beberapa kejayaan antarabangsa. Jadi, ia harus ditangani oleh pihak yang tahu menjaga hal (bola sepak) ini.
“Usah kita bangkitkan atau bandingkan dengan perkara bukan-bukan di dalam bola sepak. Sampai bila kita hendak maju jika perkara remeh diutamakan?
“Jangan jadikan sukan itu medan politik. Ia tidak akan membantu graf negara semakin tinggi di dalam kemajuan sukan moden kini,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Dalam masa yang sama, Kay Kim sempat meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pegawai sukan yang kini lebih bersikap peribadi berbanding mahu membantu pembangunan sukan negara.
Tambahnya lagi, Kementerian Belia dan Sukan harus memainkan peranan bagi mengelak kekerapan berlakunya gejala kurang bermoral atau kontroversi dalam sukan.
“Saya amat sedih kerana segelintir pegawai sukan pada zaman kini tidak mempunyai cita-cita untuk majukan sukan negara.
“Malah, mereka dilihat seperti memiliki 'agenda' yang tersendiri berbanding ketika dahulu, pegawai sukan lebih bersemangat untuk membangunkan sukan negara.
“Saya percaya jika KBS memain peranan di dalam pembangunan bola sepak, hasil yang positif tidak mustahil untuk dicapai.
“Kejayaan skuad bola sepak layak bertanding di di Sukan Olimpik 1972 telah membuktikan kita mempunyai reputasi yang gah tetapi kini, skuad bola sepak negara dilihat agak merosot,” ujarnya.
Beliau berkata, kini FAM perlu bekerja keras mengembalikan reputasi sebagai persatuan yang disegani di samping mengekalkan imej bersih kepada peminat-peminat bola sepak negara.
Di samping itu, beliau menyarankan kepada semua persatuan dan kelab yang beraksi di Liga M agar menggunakan pendekatan yang lebih berhemah sekiranya menghadapi sebarang kekeliruan.
“Sukan melibatkan persaingan. Paling utama, FAM harus berusaha untuk mengekalkan keharmonian dan keseimbangan di dalam liga negara di samping lebih bersikap profesional pada masa akan datang.
“(Persatuan dan kelab) mereka haruslah merujuk kepada FAM sekiranya tidak faham mengenai syarat-syarat atau peraturan dan gunakan pendekatan yang lebih mesra,” katanya.--Kosmo