January 25, 2012

Saya, Wenger Tidak Bersengketa - Van Persie


LONDON - Robin van Persie menafikan dakwaan yang dia bersengketa dengan pengurus Arsenal, Arsene Wenger berikutan reaksi yang ditunjukkan penyerang itu ketika Wenger mengeluarkan Alex Oxlade-Chamberlain pada perlawanan menentang Manchester United, Ahad lalu.

Van Persie yang memainkan peranan besar dalam membantu Arsenal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah dilihat berkata "Tidak" kepada Wenger, apabila pengurus itu menggantikan Oxlade-Chamberlain dengan Andrey Arshavin pada saingan yang menyaksikan mereka tewas 1-2 di Stadium Emirates.

Keputusan Wenger turut mengundang kemarahan peminat Arsenal, yang mengejek pengurus kelahiran Perancis itu.

Van Persie bagaimanapun bingkas menafikan khabar angin bahawa dia berang dengan tindakan Wenger itu, sebaliknya menjelaskan kepada akhbar Britain, The Sun bahawa Oxlade-Chamberlain dikeluarkan kerana kecederaan betis.

"Saya tidak melawan boss, Ahad lalu. Saya cuma sedih melihat Alex dikeluarkan dari padang sedangkan dia memainkan peranan besar dalam membantu gol tunggal kami.

"Saya tidak langsung mempersoalkan penilaian jurulatih, saya tahu itu bukan hak saya untuk mencabar apa yang dilakukan Arsene Wenger.

"Kami tidak tahu Alex-Oxlade Chamberlain mengalami kecederaan betis tetapi boss mengetahuinya, sebab itu dia membawa masuk Andrey Arshavin.

"Hubungan saya dan pengurus adalah baik, malah hubungan saya dengan kelab juga baik. Tiada masalah, tiada konflik dan tiada kontroversi,'' tegas Van Persie.

Sementara itu penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny menyeru peminat agar memberi kepercayaan kepada Wenger untuk mengembalikan kelab di landasan sebenar selepas tiga kekalahan berturut-turut.

"Beliau melakukan tugas yang hebat sejak 15 tahun dan masih melakukannya. Saya tidak rasa kedudukannya harus dipersoal,'' ujar Szczesny. - AFP