January 25, 2012

Evra Optimis Pintas Seteru


LONDON - Patrice Evra yakin Manchester United akan memintas kedudukan kelab sejiran, Manchester City dalam perebutan gelaran Liga Perdana England musim ini.
City sebelum itu memiliki kelebihan enam mata di persada liga hasil kemenangan dramatik 3-2 ke atas Tottenham Hotspur Ahad lalu.
Bagaimanapun, United berjaya mengurangkan defisit tersebut kepada tiga mata selepas menewaskan Arsenal 2-1.
Pemain pertahanan kiri Perancis, Evra berkata: "Bagi kami, apa yang penting sekali ialah kemenangan. Tiga mata sangat penting kalau kami mahu memenangi gelaran liga.
"Saya selalu tegaskan persaingan liga bukan seperti acara pecut, ia adalah acara marathon.
"Kami masih di belakang City tetapi kami perlu meneruskannya dan memenangi setiap perlawanan.
"Saya yakin dengan pasukan ini kerana semua orang bekerja keras dan apabila kami turun dengan semangat United, kelab lain akan sukar menewaskan kami."
Evra juga memuji taktikal yang digunakan pengurus United, Alex Ferguson ke atas Arsenal selepas The Red Devils banyak melakukan asakan dari bahagian sayap untuk menembusi pertahanan skuad The Gunners.
"Saya rasa taktik permainan kami ialah menyerang dan cuba menembusi pertahanan lawan. Jadi, ia memerlukan asakan yang keras di bahagian kiri atau kanan pasukan lawan.
"Dan itulah apa yang kami lakukan. Kami telah melakukannya banyak kali apabila bermain dengan Arsenal. Itulah strategi kami," jelas Evra. - Agensi