January 30, 2012

Real Madrid Makin Jauh


MADRID - Real Madrid mengukuhkan teraju pendahulu liga utama Sepanyol (La Liga) dengan kelebihan tujuh mata selepas menumpaskan kelab tercorot, Real Zaragoza 3-1 semalam, pada ketika pencabar utama mereka, Barcelona sekadar seri 0-0 dengan satu lagi pasukan bermasalah, Villareal.

Pendahulu liga itu pantas bangkit daripada kekecewaan disingkirkan Barcelona pada suku akhir Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey) pertengahan minggu lalu dengan mengalihkan sepenuh fokus kepada merampas gelaran liga.

Bagi Barca pula, usaha memburu kejuaraan liga keempat berturut-turut kini menjadi semakin berat selepas mempamerkan satu lagi persembahan buruk di gelanggang lawan, di mana mereka seri lima kali dan kalah sekali sepanjang musim ini.

Kemenangan ke-17 Real daripada 20 perlawanan meninggalkan mereka mendahulu dengan 52 mata, meninggalkan Barcelona di tangga kedua menerusi 45 mata. Valencia pula menghuni tangga ketiga, 35 mata.

Dalam saingan di Bernabeu semalam, Angel Lafita mengejutkan tuan rumah dengan meletakkan Zaragoza di depan seawal minit ke-11 menerusi sepakan percuma yang diambil dengan pantas.

Begitupun, Real tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan rendah Kaka pada minit ke-32 melewati celah kaki penjaga gol, sebelum Cristiano Ronaldo meledakkan gol ke-24nya musim ini sejurus babak kedua disambung untuk kedudukan 2-1.

Pemain antarabangsa Jerman, Mesut Ozil memastikan kemenangan selesa 3-1 buat tuan rumah pada minit ke-56 dan selepas jaringan tersebut, Zaragoza tidak lagi banyak mengancam kubu lawan.

Dalam perlawanan di Madrigal, bintang penyerang Barcelona, Lionel Messi sesekali melakukan percubaan yang kurang tepat, namun keseluruhannya, pasukan itu tidak banyak melakukan gerakan biasa mereka ketika berdepan lawan yang hanya memulakan saingan dari tangga ke-17.

Barca memasukkan Alexis Sanchez di hujung saingan biarpun pemain itu masih bergelut dengan kecederaan bahu, kemasukan Sanchez masih tidak mampu membantu pasukannya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Diego Lopez.

"Liga belum berakhir dan masih ada jalan yang panjang untuk dilalui. Tuah tidak menyebelahi kami malam ini, kami tidak bermain sebaik yang kami mampu tetapi kami berusaha mencipta peluang,'' ujar Messi.

Sementara itu Espanyol yang diaibkan kelab divisyen tiga, Mirandes pada suku akhir Copa del Rey minggu lalu, melonjak ke tangga kelima La Liga selepas menumpaskan 10 pemain Real Mallorca 1-0 semalam. Espanyol kini mengumpul 31 mata, meninggalkan Athletic Bilbao di tangga keenam dengan 29 mata.

Vladimir Weiss menghukum kesilapan penjaga gol Mallorca, Dudu Aouate dengan meledakkan jaringan tunggal Espanyol pada minit ke-18, namun mereka gagal menambah gol biarpun pasukan lawan beraksi dengan kekurangan seorang pemain sebaik separuh masa kedua disambung apabila Aouate dibuang padang.

Dalam satu lagi perlawanan, Fernando Llorente mencipta hatrik kepada membantu Atletico Bilbao bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Rayo Vallecano 3-2. - Reuters