January 30, 2012

Barcelona Kian Pudar

BARCELONA: Tiga hari selepas Barcelona menamatkan impian Real Madrid mempertahankan kejuaraan Piala Raja-Raja Sepanyol, juara bertahan Liga Sepanyol itu sekadar seri 0-0 dengan Villarreal di tempat lawan, awal pagi semalam. 

Ia sekali gus makin memudarkan harapan Barcelona meraih kejuaraan liga buat musim keempat berturut-turut memandangkan Real kian selesa dengan kelebihan tujuh mata di tangga teratas hasil kemenangan 3-1 ke atas Real Zaragoza.


Barcelona yang sudah mencicirkan 13 daripada 30 mata di tempat lawan terlepas beberapa peluang terbaik menerusi Lionel Messi dan Cesc Fabregas pada aksi yang berlangsung di Stadium El Madrigal itu.


“Masih ada baki 18 perlawanan dan saya mahu pemain terus berjuang untuk setiap satu mata seperti apa yang kami lakukan pada perlawanan ini. Jika terus beraksi seperti ini, kami akan meneruskan musim terbaik. Saya langsung tak kecewa dengan pemain,” kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola. 

Sementara itu, di Santiago Bernabeu, Zaragoza bermula baik mendahului menerusi Angel Lafita seawal minit ke-11, namun akur dengan tiga gol dibalas Real menerusi Kaka (32), Cristiano Ronaldo (49) dan Mesut Ozil (56). 

Real kini menang sembilan daripada 10 aksi di laman sendiri sepanjang musim ini dengan satu-satunya kekalahan itu ialah kepada Barcelona, Disember lalu. 

“Kami tak boleh sentiasa terus menang dan juga tak boleh melepaskan banyak gol di tempat sendiri atau tempat lawan. Ini yang perlu kami perbaiki,” kata Kaka merujuk kepada statistik gawang Real yang tetap dibolosi sepanjang 10 aksi di laman sendiri itu. – AP