January 20, 2012

PFA | Rasuah RM100,000 Seorang?


TATKALA imej Liga Malaysia dan bola sepak negara menjadi pertaruhan, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mahu tindakan segera dibuat bagi membanteras gejala mengatur keputusan perlawanan yang dikesan masih berlaku. 

“PFA minta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan perhatian serius dengan mengambil tindakan segera dan menyiasat setiap laporan yang mengaitkan pasukan atau pemain.

“Jika gejala ini tidak dibanteras, atau membiarkan bookie berleluasa, maka segala usaha yang kita lakukan untuk membina pasukan yang hebat tidak akan ke mana-mana, sebaliknya ia akan merosakkan imej bola sepak dan negara,” kata Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurutnya, disebabkan tiada tindakan dianggap cukup tegas dan menyeluruh sebelum ini, gejala itu dipercayai masih wujud dan berleluasa. 

Shahidan membuat kenyataan itu ekoran laporan seorang pemain Perlis disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabtu lalu kerana disyaki terbabit menjual permainan ketika tewas kepada MP Muar, 2-7, 9 Januari lalu. 

Selain pemain berkenaan, sembilan daripada 11 pemain yang menggalas cabaran Perlis pada perlawanan pertama Liga Perdana dengan MP Muar didakwa bertemu ejen bookie berkenaan yang juga bekas pemain kebangsaan. 

Menerusi maklumat, pemain Perlis termasuk pemain importnya, ditawarkan RM100,000 setiap seorang dan Shahidan percaya, ejen bookie terbabit tidak hanya bertemu pasukan yang tewas. - Bharian