January 20, 2012

Selangor Belum Temui Rentak dan Tidak Panik


“BELUM waktunya menekan butang panik.” Itu kata pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang melihat Merah Kuning hanya mengumpul empat mata selepas tiga perlawanan, termasuk tewas mengejut 1-0 kepada FELDA United.
“Bagi saya masih terlalu awal untuk anggap Selangor dalam keadaan bahaya,” kata Irfan. “Ini baru perlawanan ketiga dan saya rasa tidak ada sebab untuk panik. Lambat laun pasti kami akan menemui rentak kemenangan. 

“Masalah utama ketika ini ialah ketumpulan barisan depan. Kami cipta banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya manakala lawan pula (FELDA) menggunakan satu-satunya peluang mereka sebaik mungkin. 

“Masalah ini dijangka tidak berlanjutan kerana pengurusan kini dalam proses mendapatkan penyerang baru. Ia masih dalam proses perbincangan dan dijangka selesai dalam waktu terdekat.” 
Bagi Irfan, pertemuan dengan Sarawak di laman sendiri esok (Stadium Nasional Bukit Jalil) menjadi peluang terbaik kembali di landasan kemenangan dan meraih keyakinan penyokong tetapi dia tidak mahu pemain ambil mudah cabaran Sarawak yang menewaskan Kuala Lumpur 2-0, sebelum tewas tipis kepada Sabah (2-1) dan Terengganu (1-0). 

“Saya belum berpeluang melihat corak permainan Sarawak musim ini, tetapi daripada maklumat Razip (Ismail - pengendali Kuala Lumpur), saya mendapat sedikit gambaran dan maklumat,” kata Irfan. 

“Biasanya setiap kali bertemu Selangor yang dianggap pasukan elit, lawan bermain 110 peratus. Jadi saya tidak mahu pemain mengambil mudah cabaran Sarawak Sabtu ini (esok).” 

Sarawak yang dikendalikan Robert Alberts juga mengalami masalah sama apabila ketumpulan jentera serangannya - selepas penyerang import, Kalle Sone masih belum dapat beraksi akibat kecederaan - tetapi lebih awal mencari jawapan apabila import terbaru, Verdan Muratovic, tiba di Kuching, semalam. --Bharian