January 16, 2012

Perjalanan Masih Panjang - Yunus Alif



KEJAYAAN melakar dua kemenangan berturut-turut untuk menduduki tangga teratas Liga Super nyata belum memberi kepuasan maksimum kepada pasukan berstatus kelab, T-Team.
Sebaliknya, jurulatih T-Team, Yunus Alif (gambar) mengakui perjuangan pasukan tersebut dalam dalam kempen liga berprestij itu sebenarnya masih panjang dan penuh berliku.
Namun, Yunus tetap memberi kredit kepada para pemain yang telah menampilkan corak permainan yang membanggakan dalam dua perlawanan awal musim ini.
“Memenangi kedua-dua perlawanan dengan jumlah jaringan yang agak besar adalah sesuatu yang hebat. Pasukan ini nampaknya telah bermula dengan baik dan kini kami berada di tangga teratas liga,” kata Yunus.
Pada aksi kedua kelmarin, T-Team yang juga semifinalis Piala Malaysia musim lalu membelasah Kuala Lumpur 3-0, sekali gus mengulangi keputusan sama ketika menewaskan Kedah di Kuala Terengganu.
Paling menarik, kapten T-Team, Zairo Anuar Zailani kini muncul penjaring terbanyak dengan tiga gol termasuk dua gol yang dijaringkan ke atas Kuala Lumpur.
“Semangat pemain begitu berkobar-kobar dan semuanya inginkan kemenangan. Apa yang penting prestasi sebegini dapat dikekalkan sehingga ke akhir musim,” jelasnya.
Mengulas mengenai prestasi Zacharia Simukonda, Yunus mengakui pemain import dari Zambia itu mula menunjukkan sentuhan sebenarnya.
Katanya, pengalaman Simukonda yang pernah beraksi dalam saingan tempatan sebelum ini adalah aset terbaik kepada pasukan untuk berdepan cabaran lebih getir selepas ini.
“Ramai yang mempersoalkan prestasinya ketika kami menang ke atas Kedah minggu lalu, namun semalam (kelmarin), dia telah buktikan dengan menjaringkan satu gol buat pasukan.
“Saya sangat percaya dengan kemampuannya sebagai penjaring dan sebab itulah kami mengambil keputusan untuk membawa dia bermain bersama pasukan ini,” ujarnya lagi.--Kosmo