Kemenangan itu menambah tekanan buat penyandang juara, Barcelona yang turun menentang Real Betis di laman sendiri, awal pagi tadi.
“Mereka bertahan baik, tidak melakukan kesilapan dan tahu bagaimana kami akan melakukan serangan,” kata Mourinho.
“Mereka bermain dengan baik terutama pada babak pertama. Kami perlu mengambil risiko di babak kedua untuk mencari kemenangan. Saya mengeluarkan Marcelo kerana mahu meletak hanya tiga pertahanan.
“Saya letak Fabio Coentrao dengan Pepe dan Sergio Ramos kerana mereka cukup pantas untuk bertahan hanya dengan tiga orang.”
Kemenangan itu cukup penting buat Madrid dalam merampas kembali kejuaraan yang digenggam Barcelona selama tiga musim berturut-turut.
Valencia di tangga ketiga dengan 12 mata di belakang, selepas tewas 1-0 di laman sendiri kepada Real Sociedad pada perlawanan yang menyaksikan pemain sayap Perancis, Antoine Griezmann meledak gol tunggal pada minit ke-55.
Pasukan tangga keenam, Sevilla diejek penyokong sendiri selepas seri tanpa jaringan dengan Espanyol, yang mengekang Barcelona 1-1 hujung minggu lalu, sekali gus hampir meranapkan peluang ke Liga Juara-Juara Eropah. --Bharian